
PUTRAJAYA, 26 April – Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 oleh Negeri Selangor akan diteruskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
- SUKMA Selangor dijadualkan 15 hingga 24 Ogos dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah.
- Temasya ini medan pemilihan dan persiapan atlet muda bagi menghadapi Sukan SEA di Malaysia tahun hadapan.
- Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 30 April akan membentang status persiapan dan langkah penjimatan.
SUKMA Selangor kekal dilangsungkan bermula 15 hingga 24 Ogos ini dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah, setelah menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis lalu untuk membincangkan perkara itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Selangor serta mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, yang meletakkan kepentingan atlet-atlet muda negara sebagai keutamaan ketika memutuskan agar SUKMA 2026 diteruskan.
“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi,” katanya.
Tambah beliau, SUKMA 2026 ini adalah antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun hadapan.
Beliau turut berbincang berkenaan keputusan itu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjanjikan kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri demi memastikan penganjuran SUKMA Selangor 2026 dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Tuanku yang dijadualkan pada Rabu, 29 April, bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran SUKMA 2026,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan pada Khamis, 30 April ini, akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan, terutama langkah-langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Sultan Selangor.
Beliau berkata sebarang maklumat tambahan berkenaan SUKMA Selangor 2026 akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA diadakan.