Putrajaya perkukuh status destinasi sukan antarabangsa

Foto Perbadanan Putrajaya

PUTRAJAYA, 26 April Lebih 1,300 peserta tempatan dan antarabangsa berhimpun di Putrajaya bagi menghadiri dua acara sukan antarabangsa, iaitu Kejohanan Rogaining Antarabangsa Putrajaya 2026 dan Kayuhan Rentasi Taman Putrajaya (PIPR) Siri 36, bersempena ulang tahun ke-30 Perbadanan Putrajaya (PPj).

RINGKASAN BERITA AI
  • Putrajaya sesuai untuk penganjuran acara sukan kerana kawasan luas, aliran trafik kurang sibuk dan keselamatan yang baik.
  • Program kayuhan perkenal kategori baharu 30 kilometer dan laluan taman serta pesisir tasik menyerlahkan konsep bandar aktif menyokong gaya hidup sihat dan inklusif.
  • Pembukaan Dewan Acara Putrajaya di Anjung Floria pada Mei 2026, kapasiti 1,200, mengukuh ekosistem MICE dan tarikan acara berskala nasional antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan, lokasi Putrajaya merupakan adalah destinasi yang sangat sesuai untuk penganjuran acara sukan.

“Putrajaya mempunyai kawasan yang luas serta aliran trafik yang tidak terlalu sibuk, sekali gus menjadikannya selamat untuk kejohanan sukan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Sehubungan itu, pihak yang berminat boleh menghubungi Perbadanan Putrajaya untuk maklumat lanjut,” ujar beliau.

Hannah Yeoh berkata demikian pada sidang media selepas melakukan ‘flag-off’ Program Kayuhan Rentasi Taman Putrajaya, yang berjaya menarik penyertaan 1,000 peserta dengan pengenalan kategori baharu sejauh 30 kilometer, selain kategori sedia ada 15 kilometer.

Laluan kayuhan yang merentasi taman-taman awam serta pesisir Tasik Putrajaya menyerlahkan potensi bandar ini sebagai sebuah “active park city” yang menyokong gaya hidup sihat dan inklusif.

Sambutan ulang tahun PPj turut menyaksikan perasmian Dewan Acara Putrajaya di Anjung Floria, yang dijadual mula beroperasi pada Mei 2026.

Fasiliti moden berkeluasan 1,839.28 meter persegi itu mampu menampung sehingga 1,200 orang pada satu-satu masa, sekali gus memperkukuh kapasiti Putrajaya sebagai destinasi penganjuran acara MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions).

“Penambahan fasiliti seperti Dewan Acara Putrajaya akan melengkapkan ekosistem penganjuran acara di sini. Ini penting bagi memastikan Putrajaya kekal kompetitif dalam menarik acara berskala nasional dan antarabangsa,” tambah beliau lagi.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Perbadanan Putrajaya di www.ppj.gov.my.