
KUALA LUMPUR, 26 April – Indeks utama Bursa Malaysia diunjur tidak berubah dan berlegar antara 1,700 hingga 1,730 minggu hadapan.
- FBM KLCI disokong aktiviti memburu saham murah dan sentimen bertambah baik, namun kenaikan mampan bergantung pada hala tuju luaran dan geopolitik.
- Fokus beralih kepada mesyuarat FOMC; kadar dijangka kekal tinggi dan tempoh lebih lama kerana inflasi sukar diurus, menyokong sentimen pasaran.
- Dagangan singkat sempena cuti dijangka mengurangkan kecairan; pasaran kekal tidak menentu dan dalam fasa penyatuan dalam persekitaran luaran kompleks.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan, pengekalan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan menunjukkan kecenderungan untuk meningkat, disokong oleh aktiviti memburu saham murah yang berterusan dan sentimen semakin baik.
“Walaupun risiko penurunan dilihat terkawal buat masa ini, kenaikan yang mampan akan bergantung kepada hala tuju luaran lebih jelas, terutamanya perkembangan ketegangan geopolitik dan petunjuk pasaran global,” katanya.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, fokus kini beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 28 hingga 29 April depan, dengan kadar faedah dijangka kekal pada 3.50 hingga 3.75 peratus.
“Jangkaan ini turut didorong isyarat bahawa kadar faedah akan kekal tinggi bagi tempoh lebih lama berikutan kadar inflasi masih sukar untuk diuruskan.
“Pada masa sama, musim laporan pendapatan di AS telah memberikan sedikit sokongan, dengan pengumuman awal menunjukkan S&P 500 kekal berada di landasan untuk mencatatkan satu lagi suku pertumbuhan pendapatan yang kukuh,” katanya.
Tambahnya, walaupun faktor-faktor itu menyokong sentimen risiko jangka pendek, ia mungkin tidak cukup untuk mengimbangi sepenuhnya risiko yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan harga tenaga.
Minggu dagangan lebih singkat sempena cuti Hari Pekerja juga dijangka akan mengurangkan kecairan pasaran.
”Secara keseluruhan, kami mengekalkan pandangan bahawa daya tahan pasaran kekal tidak menentu dengan FBM KLCI diunjur kekal dalam fasa penyatuan dalam persekitaran luaran yang semakin kompleks,” katanya.
Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia didagangkan kebanyakannya tinggi dengan FBM KLCI naik 25.13 mata kepada 1,720.34 pada Jumaat lalu daripada 1,695.21 minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 16.39 bilion unit bernilai RM15.16 bilion daripada 16.35 bilion unit bernilai RM14.87 bilion, seminggu sebelumnya.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 9.33 bilion unit bernilai RM13.66 bilion daripada 8.97 bilion unit bernilai RM13.41 bilion sebelum ini.