
KUALA LUMPUR, 26 April – Pasaran modal di rantau ini, khususnya Malaysia kekal optimistik dengan pertumbuhan lebih 10 peratus tahun ke tahun walaupun berdepan pelbagai cabaran global.
- Aliran masuk pelaburan dijangka meningkat kerana minat pelabur utama kekal kukuh walaupun sentimen global lemah.
- Sektor ekonomi digital, tenaga dan semikonduktor menyokong pertumbuhan dan menjadi penyumbang penting kepada KDNK.
- Malaysia berpeluang meraih manfaat daripada peralihan aliran modal kerana pelabur mencari lokasi dan sektor berpotensi jangka panjang.
- Kedudukan sebagai pengeksport bersih tenaga serta ruang dasar fiskal dan monetari memberi ketahanan terhadap ketidaktentuan global.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, aliran masuk pelaburan ke negara ini dijangka terus meningkat dengan minat pelabur utama kekal kukuh, di sebalik sentimen global yang lemah.
Peningkatan itu turut diperlihatkan menerusi prestasi memberangsangkan sektor-sektor utama seperti ekonomi digital, tenaga serta semikonduktor yang merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Malaysia juga berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat pelaburan daripada perubahan landskap ekonomi semasa.
”Ketika ini penstrukturan semula atau pengagihan semula aset oleh syarikat dan pengurus dana, sama ada dalam pasaran modal mahupun pelaburan asing sedang berlaku.
“Pelabur kini mencari lokasi dan sektor yang berpotensi untuk jangka panjang, dan dalam konteks ini, ASEAN termasuk Malaysia berpeluang meraih manfaat daripada peralihan aliran modal tersebut,” katanya dalam sesi panel program CNBC Converge Live di Singapura, baru-baru ini.
Dalam pada itu, status sebagai pengeksport bersih tenaga membolehkan Malaysia berada di kedudukan lebih baik berbanding beberapa ekonomi serantau, selain memasuki fasa ketidaktentuan global dengan asas ekonomi yang lebih stabil.
“Jika dilihat kepada pertumbuhan KDNK, angka pelaburan serta tahap guna tenaga, Malaysia masih berada pada landasan yang baik. Malah, negara juga mempunyai ruang dari segi dasar fiskal dan monetari untuk menangani sebarang cabaran.
”Bagaimanapun, kekuatan semasa itu tidak boleh diambil mudah, meskipun nilai mata wang dan prestasi pasaran kekal memberangsangkan,” jelasnya.