KESUMA lancar inisiatif komprehensif tangani krisis pasaran buruh 1 Mei

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan ketika ditemui pemberita semasa tinjauan mesra sempena Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 April -Sempena Sambutan Hari Pekerja, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal melancarkan siri inisiatif sokongan komprehensif pada 1 Mei ini bagi menangani impak krisis bekalan global terhadap pasaran buruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan proaktif susulan trend membimbangkan: 5,900 rakyat kehilangan pekerjaan pada Mac.
  • Penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dicadangkan untuk tangani ketidaktentuan ekonomi global.
  • Penambahbaikan dijangka beri perlindungan sosial dan akses lebih mudah kepada latihan semula serta peningkatan kemahiran.
  • Usaha mempercepat penempatan semula pekerja ke sektor lebih stabil untuk kurangkan tekanan pasaran buruh.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menerusi kenyataan memaklumkan, langkah proaktif itu dilaksana susulan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara yang menyaksikan 5,900 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan pada Mac lalu.

“Inisiatif itu sekali gus bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja menerusi intervensi yang lebih dinamik.

“Ini termasuk, Penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Karnival Kerjaya Premium MyFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penambahbaikan itu dijangka memberi manfaat menyeluruh kepada pekerja, meliputi perlindungan sosial dan akses lebih mudah kepada program latihan semula dan peningkatan kemahiran.

Usaha itu sekali gus bagi mempercepat proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan lebih stabil, sekaligus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara.