
Putrajaya, 26 April – Penantian selama dua puluh tahun berakhir apabila projek pembinaan Jambatan Monorel Putrajaya yang sebelum ini terbengkalai, kini disahkan berada di fasa akhir pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei depan.
- PPj mempergiat kerja-kerja di tapak bagi memastikan jambatan dapat dibuka kepada orang awam dalam tempoh terdekat.
- Struktur telah direka semula sebagai laluan pintas khusus untuk pejalan kaki dan penunggang basikal sahaja.
- Kenderaan bermotor termasuk kereta dan motosikal tidak dibenarkan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.
- Jambatan berpotensi menjadi lokasi acara rekreasi dan sukan, namun perancangan akan diperhalusi mengambil kira aspek keselamatan.
Meskipun berdepan sedikit kelewatan sebelum ini, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi jaminan bahawa kerja-kerja di tapak projek sedang dipergiat bagi memastikan ia dapat dibuka kepada orang awam dalam tempoh terdekat
Pengerusi PPj, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir menjelaskan, struktur tersebut telah direka semula dengan fungsi khusus sebagai kemudahan jalan pintas bagi kegunaan pejalan kaki dan penunggang basikal sahaja.
“Namun,larangan kenderaan bermotor, termasuk kereta dan motosikal, tidak dibenarkan sama sekali menggunakan laluan tersebut demi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna komuniti yang ingin beriadah atau bergerak di antara kedua-dua presint tersebut,” tegas beliau.
Selain menjadi laluan perhubungan, jambatan tersebut turut mempunyai potensi besar untuk dijadikan lokasi penganjuran pelbagai acara rekreasi dan sukan pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, Datuk Mohd Sakeri menambah bahawa setiap perancangan akan diperhalusi dengan mengambil kira aspek keselamatan secara menyeluruh sebelum sebarang pengumuman rasmi atau penganjuran acara dibuat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Kayuhan Rentasi Taman Putrajaya (PIRR) ke-36 yang diadakan bersempena ulang tahun PPj ke-30. Program tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.