Masyarakat perlu tingkat kemahiran CPR, penggunaan AED

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 26 September – Kesedaran dan kemahiran asas menyelamatkan nyawa seperti pemulihan pernafasan (CPR) serta penggunaan defibrilator luaran automatik (AED) dalam kalangan masyarakat masih perlu dipertingkatkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemahiran asas CPR, bantuan tercekik dan lemas perlu diperluas kepada masyarakat, termasuk sekolah, masjid dan lokasi tumpuan awam.
  • Pengguna AED di kawasan awam memerlukan sokongan pengetahuan serta latihan untuk menggunakan alat dengan betul.
  • Galakan kepada masjid di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara untuk menganjurkan program latihan CPR serta penggunaan AED.
  • Program FIMA Lifesaver memberi pendedahan kepada orang awam tentang bantuan hayat asas termasuk kecemasan kanak-kanak.

Pengarah Hospitral Pakar Al-Islam Dr Ishak Mas’ud berkata keupayaan orang awam memberikan bantuan awal amat penting, terutama ketika berdepan situasi kecemasan sebelum pasukan perubatan tiba.

“Kemahiran asas seperti CPR dan bantuan tercekik atau lemas perlu diperluas kepada masyarakat umum termasuk di sekolah masjid dan lokasi tumpuan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program FIMA Lifesaver Malaysia 2026 di Masjid Negara, hari ini.

Tambah beliau, walaupun AED kini disediakan di sesetengah kawasan awam penggunanya perlu disokong dengan pengetahuan serta kemahiran yang betul.

“Kita harapkan terutama di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara, untuk mengadakan program latihan CPR dan juga mengetahui bagaimana untuk menggunakan alat AED itu.

“Dalam Islam itu penting, sebab menyelamatkan satu nyawa itu seperti kita menyelamatkan seluruh umat manusia ini,” jelasnya.

Program FIMA Lifesaver Malaysia 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan serentak di peringkat antarabangsa, melibatkan 25 negara.

Justeru, program berkenaan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai kemahiran asas bantuan hayat termasuk CPR, pengendalian situasi tercekik serta kecemasan melibatkan kanak-kanak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.