UiTM Jalan Othman kini dikenali UiTM Tun Arshad Ayub

Foto RTM

SHAH ALAM, 26 September – Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jalan Othman di Petaling Jaya dinamakan semula sebagai UiTM Tun Arshad Ayub sebagai penghargaan terhadap jasa tokoh pendidikan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri meluluskan segera RM2.5 juta untuk kemudahan kampus Jalan Othman.
  • Kerajaan memperuntukkan RM3.08 bilion untuk UiTM 2026, peningkatan ketara berbanding peruntukan terdahulu.
  • Mandat diberi kepada tujuh hingga 10 tokoh alumni menilai program agensi Bumiputera dan bidang strategik seperti kecerdasan buatan.
  • Kerjasama kerajaan dan alumni disokong, geran permulaan RM100,000 kepada Persekutuan Alumni UiTM untuk memupuk kecemerlangan dan pembangunan Bumiputera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan langkah tersebut bukan sekadar mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub, malah menyemarakkan semula semangat perjuangan beliau dalam memperkasakan pendidikan dan mobiliti sosial Bumiputera.

“Saya mulakan dengan bersetuju dengan saranan rakan-rakan termasuk alumni untuk mengisytiharkan Kampus UiTM Jalan Othman Petaling Jaya kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub.

“Sebagai permulaan yang sesuai dengan pengumuman ini, saya luluskan segera RM2.5 juta ke Jalan Othman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni UiTM di UiTM Shah Alam.

Perdana Menteri turut memberi jaminan agenda pembangunan Bumiputera kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini dapat dilihat menerusi peruntukan kepada UiTM apabila kerajaan menyalurkan RM3.08 bilion bagi tahun 2026, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, menunjukkan peningkatan ketara berbanding kurang RM2 bilion yang diperuntukkan ketika pentadbiran terdahulu.

“Malaysia ini tertegak dengan satu sistem dan perlembagaan yang jelas. Siapa pun jadi pemimpin, apatah lagi dalam Kerajaan MADANI, tidak boleh merombak dan merungkai prinsip asas perlembagaan negara kita.

“Pendirian kita tentang dasar pembangunan Bumiputera di mana agensi-agensi Bumiputera terus diberi perhatian. Saya nak buktikan bahawa dalam Kerajaan MADANI, perhatian kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, sosial, serta pendidikan Bumiputera adalah jauh lebih tinggi dari mana-mana pemerintahan sebelum ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan memberi mandat kepada tujuh hingga 10 tokoh alumni UiTM untuk menilai program utama agensi Bumiputera termasuk UiTM, MARA dan bidang strategik seperti kecerdasan buatan serta teknologi masa depan.

“Saya minta persatuan persekutuan melantik tujuh atau 10 orang yang kompeten untuk membantu menilai semua program Bumiputera, terutamanya UiTM, dengan matlamat mengangkat keupayaannya menjadi ‘centre of excellence’ yang dibanggakan,” katanya.

Turut diumumkan, geran permulaan RM100,000 kepada Persekutuan Alumni UiTM.

Tegas Datuk Seri Anwar, kerjasama kerajaan dan alumni UiTM diharap mampu mengangkat universiti itu sebagai pusat kecemerlangan akademik bertaraf dunia, selari dengan aspirasi memperkukuh pembangunan Bumiputera secara inklusif dan berintegriti.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata beliau masih belum menerima surat peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum mempertimbangkan kedudukan Setiausaha Agung DAP itu.

“Tunggu surat,” katanya ringkas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.