153 pengamal media Tamil terima manfaat Tabung Kasih@HAWANA

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 September – Seramai 153 pengamal media Tamil menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak penubuhannya pada 2023, dengan jumlah sumbangan keseluruhan RM460,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakan media Tamil dihargai; yang memerlukan boleh memohon bantuan melalui Tabung Kasih@HAWANA atau hubungi pejabat Timbalan Menteri.
  • Industri media tradisional perlu transformasi dan manfaatkan teknologi kecerdasan buatan sambil mengekalkan etika kewartawanan dan tanggungjawab kepada masyarakat.
  • Kerajaan sediakan Dana Inovasi Media RM30 juta sokong transformasi media dengan pembiayaan sehingga RM300,000 setiap permohonan; Dana 2.0 akan dibuka.

Timbalan Menteri Komunikasi , Teo Nie Ching berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 850 pengamal media seluruh negara yang telah menerima manfaat tabung berkenaan, dengan jumlah sumbangan RM2.5 juta setakat ini.

“Angka ini menunjukkan bahawa rakan-rakan media Tamil juga merupakan sebahagian penting daripada keluarga besar pengamal media negara yang sentiasa kita prihatin dan hargai, kepada yang memerlukan bantuan, boleh membuat permohonan melalui Tabung Kasih@HAWANA atau hubungi pejabat saya untuk mendapatkan maklumat lanjut, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia 2026, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata industri media tradisional perlu terus melakukan transformasi bagi kekal relevan dalam landskap digital yang semakin pantas berubah, termasuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, AI perlu dimanfaatkan bagi mempercepat penyampaian maklumat, namun kewartawanan tetap berteraskan etika dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Katanya, kerajaan menyediakan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta bagi menyokong transformasi industri media, dengan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap skop permohonan.

Dana merangkumi empat skop utama iaitu latihan pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta perkakasan dan kemudahan sokongan termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) kandungan.

Katanya, lima fasa Dana Inovasi Media telah dilaksana setakat ini membabitkan 72 organisasi media dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM30 juta.

Beliau turut memaklumkan Dana Inovasi Media 2.0 akan dibuka dalam masa terdekat dan menggalakkan media Tamil memanfaatkannya bagi memperkukuh keupayaan digital.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.