
KUALA LUMPUR, 26 September – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasa sebagai antara laluan penting bagi melahirkan tenaga mahir serta memenuhi keperluan pembangunan negara.
- Generasi muda perlu didedahkan kepada pelbagai laluan pendidikan termasuk TVET mengikut minat dan kebolehan.
- Pendidikan tidak hanya akademik; termasuk pembangunan kemahiran, sahsiah dan kebolehpasaran graduan.
- Pemerkasaan TVET memerlukan sokongan ibu bapa, guru, komuniti dan sektor swasta untuk peluang latihan.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, generasi muda perlu diberi pendedahan kepada pelbagai laluan pendidikan termasuk TVET bagi membolehkan mereka membina masa depan berdasarkan minat, kebolehan dan potensi masing-masing.
Beliau berkata, pendidikan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pencapaian akademik, sebaliknya turut merangkumi pembangunan kemahiran, sahsiah dan keupayaan pelajar menghadapi keperluan dunia pekerjaan.
“Alhamdulillah, kadar lepasan sekolah menengah di Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dan latihan vokasional di TVET hampir 55 peratus berbanding sasaran 70 peratus menjelang 2030. Jadi, pelajar lepasan TVET ini mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperkukuh pendidikan perlu disokong semua pihak termasuk ibu bapa, guru, komuniti serta sektor swasta bagi memastikan generasi muda mendapat peluang pendidikan dan latihan kemahiran yang bersesuaian.
Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menggalakkan golongan muda menuntut ilmu sejak di bangku sekolah, selain membina disiplin, sahsiah dan kemahiran yang dapat membantu mereka menghadapi cabaran masa depan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pendidikan MADANI ‘Sehari Bersama Rakyat’ anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar/Pudu di Kompleks Seri Bintang, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, di sini.
Karnival tersebut menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan, agensi kerajaan, sekolah, rakan strategik dan komuniti dalam usaha memperluas akses kepada maklumat pendidikan serta peluang pembangunan potensi murid.