Transformasi digital negara perlu pastikan tiada rakyat tercicir – Gobind

Foto AKADEMI KENEGARAAN MALAYSIA

PETALING JAYA, 26 September – Transformasi digital negara perlu memastikan tiada rakyat tercicir, termasuk golongan kurang celik digital, warga emas, berpendapatan rendah dan usahawan kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Transformasi digital mesti memastikan inklusiviti supaya tiada pihak ketinggalan.
  • Teknologi perlu digunakan sebagai alat untuk memudahkan kehidupan dan membuka peluang, bukan membebankan rakyat.
  • Kerajaan wajar mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan digital agar lebih cekap, mudah dan berkesan mengikut keperluan masyarakat.
  • Program MADANI Kita mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui interaksi langsung, kios dan bantuan segera untuk permohonan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata teknologi perlu dimanfaatkan untuk membuka peluang serta memudahkan kehidupan rakyat, selain memastikan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan digital lebih inklusif.

“Kita mahu teknologi menjadi alat yang memudahkan kehidupan rakyat, bukannya membebankan lagi rakyat. Kita mahu digitalisasi membuka peluang, bukan mewujudkan jurang.

“Kita mahu inovasi membawa manfaat, bukan sekadar meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Damansara Damai, di sini, hari ini.

Gobind berkata agenda pendigitalan negara bukan semata-mata berkaitan teknologi, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dalam meningkatkan kehidupan rakyat.

Katanya, perkembangan digital perlu dimanfaatkan peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan, golongan muda bagi mendapatkan ilmu dan membina kerjaya, selain membantu warga emas mengakses perkhidmatan dengan lebih mudah.

“Saya melihat agenda pendigitalan negara bukan semata-mata mengenai teknologi, sebaliknya ia adalah mengenai manusia. Teknologi itu hanyalah alat.

“Persoalan yang lebih penting adalah bagaimana alat ini dapat kita gunakan untuk meningkatkan kehidupan rakyat dan juga menjayakan negara kita,” katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memanfaatkan teknologi bagi menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap, mudah dan berkesan selaras keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

Dalam pada itu, beliau berkata Program MADANI Kita menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui interaksi secara langsung bersama kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Gobind berkata pendekatan turun padang membolehkan kerajaan memahami realiti kehidupan rakyat, selain memastikan dasar, program dan perkhidmatan yang dirangka benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

Beliau berkata rakyat juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan, memahami inisiatif yang dilaksanakan serta menyampaikan pandangan, cadangan dan permasalahan secara terus.

Menurutnya, kejayaan sesuatu dasar tidak hanya bergantung kepada jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana manfaatnya diterima dan perubahan dirasai rakyat.

“Dan kerap kali kita lihat ramai yang tidak tahu berkenaan sebenarnya apa inisiatif dan sebagainya, dan bagaimana sekiranya ada sesuatu inisiatif itu mereka dapat merasai kesan walaupun mendapat inisiatif itu.

“Itulah sebabnya kita menyediakan kios di luar, supaya mereka dapat mengetahui secara terus cara membuat permohonan dan sebagainya, selain membolehkan permohonan diuruskan dengan segera. Jadi, saya rasa ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.