MyGOV diperluas, permudah akses perkhidmatan kerajaan


Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar

KUALA LUMPUR, 25 November – Aplikasi MyGOV kini menawarkan 68 perkhidmatan kerajaan daripada 28 agensi, meningkat berbanding 62 perkhidmatan pada minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyGOV akan terus diperluas dengan perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
  • Aplikasi ini memudahkan urusan dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan kerajaan melalui satu platform.
  • MyGOV berfungsi sebagai UTC digital, manakala data pengguna kekal dalam sistem agensi masing-masing dan akses memerlukan MyDigital ID.
  • Antara muka ringkas, bimbingan bersemuka dan ujian chatbot AI membantu menjadikan aplikasi lebih mesra pengguna.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, jumlah perkhidmatan dalam aplikasi itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa, meliputi perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Apabila agensi melihat keberkesanan dan keyakinan rakyat terhadap aplikasi ini, semakin banyak jabatan tampil menawarkan perkhidmatan mereka untuk dimasukkan ke dalam MyGOV.

“Aplikasi ini memudahkan rakyat kerana mereka tidak perlu lagi mengenal pasti jabatan yang menguruskan sesuatu urusan, sebaliknya hanya perlu mengakses MyGOV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita RTM, di sini, hari ini.

Mengulas fungsi aplikasi itu, Fabian menyifatkan MyGOV sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) dalam bentuk digital yang boleh diakses menerusi telefon pintar.

Dalam pada itu, mengulas kebimbangan mengenai risiko kebocoran data peribadi, beliau berkata MyGOV tidak menyimpan data pengguna, sebaliknya bertindak sebagai platform yang memaparkan dan mendapatkan maklumat daripada sistem kementerian atau jabatan berkaitan.

“ MyGOV hanya bertindak sebagai satu tetingkap yang memaparkan dan menarik maklumat daripada sistem kementerian atau jabatan sedia ada. Data kekal di agensi masing-masing.

“Selain itu, pengguna wajib log masuk secara unik menggunakan MyDigital ID, iaitu sistem identiti digital rasmi kerajaan yang mematuhi piawaian keselamatan tertentu,” jelasnya.

Sementara itu, bagi memastikan aplikasi berkenaan kekal mesra pengguna, termasuk warga emas dan mereka yang kurang mahir menggunakan teknologi, Kementerian Digital melaksanakan tiga pendekatan utama.

Antaranya ialah reka bentuk antara muka pengguna (UI/UX) yang ringkas dan disusun berdasarkan keperluan pengguna, bukannya mengikut jabatan, selain pelaksanaan program turun padang seperti Program MADANI Rakyat bagi memberikan bimbingan secara bersemuka.

“Kita juga sedang menguji kecerdasan buatan (AI) pada fungsi chatbot di dalam aplikasi tersebut. Melaluinya, pengguna hanya perlu menaip soalan seperti cara memperbaharui pasport dan AI akan membantu untuk masuk terus ke pautan tanpa perlu mencari secara manual,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.