
KUALA LUMPUR, 26 September – Lebih 10,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda menerima manfaat daripada peruntukan RM28.12 juta yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan naik taraf secara berperingkat di kawasan perumahan berkenaan.
- DBKL melaksanakan kerja penyelenggaraan dan naik taraf secara berperingkat di PPR Batu Muda untuk memastikan kemudahan selamat dan selesa.
- Fokus kerja termasuk penggantian lif, penggantian kabel sub-utama, turapan jalan, baik pulih taman permainan, dan cat bangunan dirancang 2027.
- Pemimpin menggesa penduduk menjaga kemudahan, melunaskan tunggakan sewa, dan bekerjasama supaya dana awam dimanfaatkan tanpa pembaziran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata peruntukan itu sebahagian daripada keseluruhan RM300 juta yang disediakan DBKL bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf perumahan PPR serta Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.
Antara kemudahan yang diberi perhatian termasuk lif, jalan raya dan kemudahan awam bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, selesa serta selamat digunakan penduduk.
“Peruntukan naik taraf PPR ini adalah daripada dana pembayar cukai. Saya memohon kerjasama penduduk untuk menjaga kemudahan yang telah dibaiki dan dinaik taraf.
“Dengan kemudahan yang kini semakin baik, penduduk yang mempunyai tunggakan sewa juga wajar melunaskan bayaran masing-masing bagi memastikan dana awam dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan tidak berlaku pembaziran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pembersihan Mega Seluruh Negara dan Karnival Keselamatan Kebakaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 sempena Hari Cuci Malaysia.
Sementara itu, Datuk Bandar Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata DBKL memperuntukkan RM28.12 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan di PPR Batu Muda.
“Peruntukan itu meliputi RM11.69 juta untuk penggantian 21 unit lif, RM5.6 juta bagi penggantian kabel sub-utama, RM1.46 juta untuk turapan jalan dan RM278,000 bagi baik pulih taman permainan kanak-kanak.
“Kerja mengecat bangunan pula diperuntukkan RM9.1 juta dan dirancang dilaksanakan pada 2027,” katanya.
Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran, yang turut hadir pada majlis tersebut, menasihatkan penduduk, supaya bersama-sama menjaga infrastruktur yang disediakan.
“DBKL telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menggantikan lif baharu, justeru kemudahan ini perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.
“Perubahan ini bukan sahaja melibatkan PPR Batu Muda, malah akan diperluaskan ke PPR lain menerusi pelbagai projek naik taraf. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan menikmati kemudahan yang telah disediakan,” katanya.