
KUALA LUMPUR, 26 September – Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) disaran menjalin kerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkasakan kemahiran digital serta teknologi dalam kalangan komuniti pekak.
- MCMC dan NADI menyediakan modul, bengkel dan latihan untuk membantu golongan kurang upaya mengikuti arus komunikasi dan teknologi semasa.
- Latihan kecerdasan buatan (AI) diberikan untuk memperkasakan kemahiran digital komuniti pekak serta menutup jurang kemahiran teknologi.
- Orang ramai digalakkan mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia bagi memudahkan komunikasi dan memperluas akses pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan awam.
- Komuniti pekak menuntut hak sama rata, mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan perlukan sokongan promosi serta peluang perniagaan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata, kerjasama itu penting bagi memperluas kempen keusahawanan digital dan latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI) khusus kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
Langkah itu, sekali gus dapat memastikan tiada jurang kemahiran teknologi antara komuniti pekak dengan masyarakat keseluruhannya.
“Beberapa modul telah dianjurkan dan disediakan oleh pihak MCMC serta NADI, termasuk bengkel dan latihan bagi membantu golongan kurang upaya agar tidak ketinggalan dalam arus komunikasi dan teknologi semasa.
“Kerjasama dengan pihak MFD diharap dapat memperkukuh usaha tersebut, khususnya dalam melahirkan usahawan kurang upaya yang mampu memasarkan produk mereka secara lebih berkesan.
“Latihan AI turut diberikan bagi memastikan golongan berkenaan dapat menguasai kemahiran teknologi serta terus mengikuti perkembangan digital semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merasmikan Sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa 2026, di sini.
Hadir sama, Presiden MFD, Mohd Norhisham Aluwi dan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Dr Anuar Abdullah.
Mengulas mengenai sambutan berkenaan, Abdullah Izhar berkata akses kepada maklumat dan komunikasi merupakan hak asasi serta elemen penting bagi memastikan penglibatan saksama golongan OKU pendengaran dalam masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bagi memudahkan komunikasi serta memperluas akses komuniti Pekak kepada pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan awam.
“Sokongan berterusan kepada perniagaan serta usaha yang dijalankan oleh usahawan pekak memberi impak positif yang berpanjangan, melampaui sambutan sehari ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Norhisham menegaskan komuniti pekak mempunyai hak yang sama serta keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
“Kami sebenarnya mempunyai hak yang sama rata dan kesamarataan bersama warga yang lain. Apa yang kami harapkan menerusi program hari ini adalah untuk membuka mata masyarakat umum mengenai hak, keperluan dan akses komunikasi kami.
“Dengan bantuan kawan-kawan media membuat promosi, kami akan tunjukkan bakat yang ada pada kami. Sekiranya peluang diberikan, kami boleh menunjukkan yang terbaik untuk bersama-sama menjayakan pembangunan negara,” ujarnya.
Sambutan Hari Orang Pekak Antarabangsa 2026 bertemakan “Mengisytiharkan Hak Asasi Manusia Orang Pekak” melibatkan 20 agensi serta pempamer, dengan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk kelas percuma BIM, persembahan kebudayaan dan cabutan bertuah.