
KOTA KINABALU, 26 September – Program Literasi Pertahanan Nasional merupakan antara usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat bahawa keselamatan serta kedaulatan negara merupakan tanggungjawab bersama.
- Pendekatan literasi pertahanan penting memastikan setiap lapisan masyarakat memahami peranan masing-masing menghadapi cabaran dan ancaman keselamatan semasa.
- Inisiatif selaras dengan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society, menggalakkan penglibatan kerajaan, institusi pendidikan, industri, masyarakat sivil, media dan komuniti.
- Pelancaran di Sabah sebagai negeri pertama dengan hampir 700 peserta; program diterajui MiDAS bersama UPNM dan akan diperluas ke seluruh negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami peranan mssing-masing dalam menghadapi cabaran dan ancaman keselamatan semasa.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif strategik itu juga selaras dengan pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau Whole-of-Government dan Keseluruhan Masyarakat atau Whole-of-Society, yang menggalakkan penglibatan pelbagai pihak, iaitu kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri, masyarakat sivil, media serta komuniti dalam memperkukuh pertahanan negara.
“Kita perlu usahakan ini dan usaha ini akan berlaku secara berterusan. Kita kebetulan memilih negeri Sabah sebagai negeri pertama untuk melaksanakan program ini.
“Insya-Allah, selepas ini akan diperluas ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Hampir 700 peserta terdiri daripada penjawat awam negeri dan persekutuan, pelajar, pendidik, anggota tentera serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai program berkenaan.
Program anjuran Kementerian Pertahanan itu diterajui Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).