KPDN gesa sektor peruncitan teladani kempen turun harga, bantu ringankan beban rakyat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali / RTM

PAPAR, 26 April – Kerajaan menyeru lebih banyak syarikat peruncitan di seluruh negara untuk tampil melaksanakan inisiatif penurunan harga secara proaktif bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang kian mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha menangani kos sara hidup tidak hanya di bahu kerajaan; memerlukan komitmen menyeluruh daripada pemain industri.
  • Syarikat swasta yang kurangkan margin keuntungan dianggap tindakan patriotik menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
  • Memuji Pasar Raya Bataras Sabah yang memulakan potongan harga di semua cawangan.
  • KPDN akan bekerjasama rapat dengan industri; penyertaan sektor peruncitan boleh menstabilkan harga dan tingkatkan kunjungan pelanggan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa usaha menangani isu ini tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada pemain industri.

Beliau melihat langkah syarikat swasta yang mengambil inisiatif mengurangkan margin keuntungan demi membantu pengguna sebagai satu tindakan patriotik dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

“Isu kos sara hidup bukan hanya unik untuk Malaysia tetapi merupakan cabaran global.

“Jadi saya menyeru dan mengharapkan industri serta syarikat yang terlibat dalam sektor peruncitan untuk sama-sama meneladani ikhtiar ini bagi membuat sentuhan terus kepada rakyat,” katanya demikian selepas merasmikan Program Kempen Turun Harga di sini, hari ini.

Beliau turut memuji langkah Pasar Raya Bataras di Sabah yang telah memulakan langkah tersebut di semua cawangannya.

Program yang berlangsung sejak 15 April sehingga 30 Jun 2026 itu menyaksikan potongan harga yang signifikan, merangkumi pelbagai kategori barangan keperluan harian.

Sebanyak 9,000 barangan ditawarkan dengan diskaun antara 3 hingga 70 peratus, sekali gus memberikan pilihan yang lebih menjimatkan kepada pengguna di negeri di bawah bayu itu.

Menurut Datuk Armizan, KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan pihak industri untuk merangka lebih banyak langkah mitigasi yang bersesuaian.

Beliau percaya penyertaan aktif sektor peruncitan dapat memberi kesan besar dalam menstabilkan harga barang di pasaran.

Langkah sedemikian bukan sahaja membantu rakyat, malah dilihat mampu memastikan kelangsungan perniagaan melalui peningkatan jumlah kunjungan pelanggan ke premis yang menawarkan harga kompetitif.