KESUMA optimis capai sasaran 200,000 penempatan pekerjaan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan di Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 26 April – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) optimis menyasarkan 200,000 penempatan pekerjaan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif padanan kerjaya dan program kebolehpasaran diperluas di seluruh negara.
  • Karnival MYFutureJobs 2026 menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan gaji permulaan RM3,000 hingga RM16,000.
  • Program karnival diperluas ke Sabah dalam Karnival Lindung Kerjaya pada 9 Mei, sasar antara 5,000 hingga 10,000 peluang.
  • Tumpuan sektor termasuk kejururawatan, kejuruteraan, perbankan dan audit; hampir 30 peratus permohonan dalam industri perkhidmatan.

Ia dipacu pelbagai inisiatif padanan kerjaya dan program kebolehpasaran yang diperluas di seluruh negara.

Jelas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sasaran itu susulan sambutan memberangsangkan terhadap Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

“Peluang pekerjaan tersebut menawarkan lebih 10,000 kekosongan dengan gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM16,000, dan ia dilihat amat bersesuaian khususnya dalam keadaan ekonomi semasa.

“Jika anda lihat, tahun ini sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Borneo. Selain itu, majlis ini turut dihadiri oleh Dato’ Seri Azman. Apa yang akan kami lakukan seterusnya ialah jelajah MYFutureJobs,” jelas beliau pada Sidang Media selepas lawatan tapak Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Penganjuran karnival turut diperluaskan ke Sabah dengan sasaran antara 5,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan menerusi Karnival Lindung Kerjaya pada 9 Mei depan.

Ia merangkumi pelbagai sektor termasuk kejururawatan, kejuruteraan, perbankan dan audit dengan hampir 30 peratus permohonan tertumpu dalam industri perkhidmatan.