Kerajaan perkasakan subsidi bersasar, tangani kesan kenaikan kos akibat konflik Asia Barat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali / BERNAMA

PAPAR, 26 April – Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah mitigasi, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar, bagi memastikan kesan kenaikan kos sara hidup ekoran konflik berterusan di Asia Barat dapat diminimumkan buat rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan geopolitik mengganggu bekalan minyak dan bahan petrokimia, meningkatkan kos pengeluaran barangan keperluan.
  • Risiko keselamatan menaikkan premium insurans kapal dan kos logistik, seterusnya menjejaskan bekalan serta harga pasaran.
  • KPDN memantau rapat situasi untuk mengambil intervensi pantas sambil industri menyesuaikan harga bagi menampung kos input.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu penting bagi melindungi pengguna daripada impak rantaian bekalan global yang kini sedang berdepan tekanan hebat.

Beliau menjelaskan, ketegangan geopolitik tersebut telah menyebabkan gangguan kepada bekalan minyak dan bahan petrokimia dunia, yang secara langsung menjejaskan kos pengeluaran pelbagai barangan keperluan.

Mengulas lanjut, Datuk Armizan mendedahkan bahawa risiko keselamatan di zon konflik telah memaksa syarikat insurans mengenakan premium yang amat tinggi terhadap kapal-kapal kargo, selain lonjakan kos logistik.

“Sekarang ini kita hadapi peningkatan kepada kos logistik dan premium insurans yang meningkat jauh lebih tinggi daripada kos logistik itu sendiri.

“Risiko besar kepada kapal-kapal menyebabkan premium melonjak, dan semua ini akhirnya mempengaruhi bekalan serta harga barangan di pasaran,” ujar beliau.

Kesan tersebut kini mula dirasai pada harga barangan harian, terutamanya yang melibatkan bahan pembungkusan plastik berasaskan petroleum.

Kenaikan kos input ini memaksa pihak industri menyesuaikan harga jualan bagi menampung kos operasi yang meningkat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Turun Harga peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa KPDN akan terus memantau situasi semasa di Asia Barat secara rapat bagi memastikan sebarang langkah intervensi dapat diambil dengan pantas.