Dokumentasi sejarah Sarawak jadi pedoman perpaduan generasi muda – TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / RTM

SIBU, 26 April – Dokumentasi sejarah Sarawak perlu dipergiatkan secara menyeluruh bagi memelihara warisan budaya dan asal-usul pelbagai etnik di negeri ini daripada hilang ditelan zaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu mempergiat dokumentasi sejarah Sarawak untuk memelihara warisan budaya dan asal-usul pelbagai etnik.
  • Galakkan kolaborasi DBP, persatuan kebudayaan dan institusi pendidikan sebagai peneraju penerbitan ilmiah dan sejarah.
  • Pelancaran buku diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif penerbitan sejarah pada masa hadapan.
  • Bahan penerbitan ilmiah penting sebagai rujukan generasi muda untuk memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan kaum.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, masih terdapat banyak lembaran sejarah Sarawak yang belum direkodkan secara terperinci, khususnya melibatkan kehidupan unik masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kolaborasi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), persatuan kebudayaan serta institusi pendidikan untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai peneraju penerbitan ilmiah dan sejarah.

“Kita patut dokumentasikan sejarah supaya ia dapat menjadi panduan dan pedoman kepada generasi baharu untuk mengetahui bagaimana kita mewujudkan masyarakat yang begitu bersatu padu.

“Walaupun terdiri daripada pelbagai etnik, kita dapat bersama-sama membawa pembangunan dan yang lebih penting, memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang ini,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Secebis Kisah Perjuangan Bangsa: Ikhlasnya Pengorbanan, Indahnya Kemerdekaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Datuk Seri Fadillah turut memuji usaha penerbitan buku tersebut dan berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa hadapan bagi memperkasa peranan DBP dalam bidang penerbitan sejarah negara.

Ujarnya, bahan penerbitan ilmiah seperti itu amat penting untuk dijadikan rujukan utama generasi muda bagi memahami sejarah tanah air, sekali gus memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan kaum di Sarawak.

Dalam majlis berkenaan, penghormatan turut diberikan kepada tokoh pejuang terdahulu, termasuk Allahyarham Haji Hamdan bin Haji Marais yang telah banyak menabur jasa bakti kepada masyarakat setempat.