ADB salur AS$9 bilion ke Asia Tenggara, Malaysia terima AS$60.9 juta

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 26 April – Bank Pembangunan Asia (ADB) memperuntukkan sebanyak AS$9 bilion kepada Asia Tenggara pada 2025, dengan Malaysia menerima bahagian terkecil dalam kalangan ekonomi serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia penerima peruntukan paling kecil sebanyak AS$60.9 juta.
  • AS$7.3 bilion untuk sektor awam dan AS$1.6 bilion bagi sektor swasta.
  • Pinjaman kepada Jingxing Holdings Malaysia untuk kembangkan kemudahan kitar semula dan pembuatan kertas pembungkusan di Selangor.
  • Pelaburan tumpu kepada peningkatan produktiviti, kemahiran, pemakanan, pendidikan, kesihatan serta sokongan wanita, kanak-kanak dan ketahanan fiskal.

Menurut laporan tahunan ADB 2025, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak AS$7.3 bilion disalurkan kepada pembiayaan sektor awam, manakala AS$1.6 bilion menyokong inisiatif sektor swasta.

Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, Filipina muncul penerima terbesar di rantau ini sebanyak AS$6.81 bilion, diikuti Indonesia (AS$4.39 bilion), Vietnam (AS$1.96 bilion) dan Thailand (AS$1.45 bilion).

Malaysia pula merupakan penerima peruntukan paling kecil berjumlah AS$60.9 juta.

“Peruntukan dalam bentuk pinjaman kepada sektor swasta iaitu Jingxing Holdings Malaysia Sdn Bhd bertujuan menyokong inisiatif alam sekitar, terutamanya dalam industri pembungkusan berasaskan kertas negara.

“Dana itu digunakan untuk peluasan kemudahan kitar semula kertas buangan dan pembuatan kertas pembungkusan di Selangor,” jelas bank itu dalam laporan tahunannya.

Menurut ADB, pelaburannya kekal tertumpu kepada pengukuhan prospek ekonomi jangka panjang Asia Tenggara.

Ini khususnya melalui peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran yang relevan dengan pasaran, serta penambahbaikan dalam pemakanan, pendidikan dan hasil penjagaan kesihatan.

Selain itu, sokongan terhadap wanita dan kanak-kanak turut diperkukuh, di samping usaha memperkukuh pengurusan kewangan awam dan daya tahan fiskal bagi membina ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.

Di peringkat global, jumlah komitmen ADB pada 2025 meningkat 20 peratus kepada AS$29.3 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah itu turut disokong oleh pembiayaan bersama sebanyak AS$14.7 bilion daripada rakan pembangunan,” jelas ADB.