Pelaksanaan e-invois berperingkat bantu PMKS sesuaikan operasi

Pakar percukaian dan Pengasas KPL Corporate Advisory Sdn. Bhd., Shu Yi Kuek

KUALA LUMPUR, 25 April – Pelaksanaan e-invois dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem percukaian negara, dengan kerajaan mengambil pendekatan berperingkat bagi memastikan kesiapsiagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh peralihan ke arah pendigitalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melanjutkan peralihan e-invois Fasa 4 hingga 31 Disember 2027, melibatkan perniagaan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta tanpa penalti.
  • E-invois bukan sekadar PDF; memerlukan sistem perakaunan terintegrasi dengan LHDN, dokumen lengkap dan pelaksanaan berperingkat oleh PMKS.
  • Penggunaan e-invois tingkatkan ketelusan dan kecekapan, laporan masa nyata percepat penilaian LHDN serta menyokong aliran tunai dan pendapatan.

Langkah itu selari dengan pengumuman kerajaan yang memberi tempoh peralihan tambahan sehingga 31 Disember 2027 bagi pelaksanaan e-invois Fasa 4, melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kelonggaran tanpa penalti sepanjang tempoh tersebut.

Pakar percukaian dan Pengasas KPL Corporate Advisory Sdn. Bhd., Shu Yi Kuek berkata, pendekatan itu memberi ruang kepada PMKS untuk memahami serta menyesuaikan operasi perniagaan dengan sistem e-invois.

“Pertama, mereka perlu memahami konsep e-invois. Ia bukan sekadar mengeluarkan invois dalam bentuk PDF, sebaliknya melibatkan penggunaan sistem perakaunan yang boleh diintegrasikan terus dengan LHDN.

“Bagi saya, mereka perlu mengenal pasti sistem yang sesuai serta menyediakan dokumen diperlukan kerana peralihan ini akan mengubah cara operasi perniagaan.

“Jadi, mereka perlu bersedia dari segi pengetahuan dan melaksanakannya secara berperingkat.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi forum bersempena SME Market Expansion Showcase, yang turut menampilkan sesi panel bertajuk ESG in Action: Unlocking Grants, Tax Benefits & Green Financing for SMEs, di ibu negara, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan e-invois bukan sekadar peralihan kepada sistem digital, sebaliknya melibatkan perubahan struktur dalam pengurusan kewangan dan pematuhan cukai.

Dalam masa sama, penggunaan e-invois dijangka meningkatkan ketelusan serta kecekapan pemungutan hasil negara melalui pelaporan transaksi secara masa nyata.

“Sebelum pelaksanaan e-invois, proses penilaian prestasi perniagaan oleh pihak LHDN mungkin mengambil masa yang lama.

“Dengan e-invois, proses ini menjadi lebih pantas kerana data dihantar secara masa nyata. Ia sekali gus membantu mempercepatkan aliran tunai dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

“Secara tidak langsung, ia juga boleh menyokong peningkatan jualan dan pendapatan,” katanya.

Sesi panel tersebut turut menekankan kepentingan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam meningkatkan daya saing perniagaan, selain membincangkan akses pembiayaan hijau, insentif serta keperluan pematuhan ESG dalam landskap perniagaan semasa.

Antara panel terlibat ialah pakar tadbir urus korporat Stacia Lim serta wakil institusi kewangan, Alan Chin.