
KUALA LUMPUR, 25 April – Pendekatan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB), khususnya tenaga solar, wajar diperluaskan sebagai strategi jangka panjang bagi mendepani krisis bekalan global.
- Tenaga nuklear boleh dipertimbangkan kerana menawarkan kos kompetitif dan tahap kecekapan tinggi.
- Pembangunan tenaga hidrogen menunjukkan potensi besar, khususnya inisiatif awal Sarawak.
- Pelaksanaan biodiesel B15 positif, membuka peluang perniagaan tetapi memerlukan kesiapsiagaan industri.
Ketua Ekonomi Wawasanex, Adli Amirullah berkata, langkah itu selari dengan kejayaan beberapa negara yang telah membuktikan keberkesanan tenaga alternatif tersebut sebagai sumber yang mampan dan berdaya saing.
“Sebagai contoh, China merupakan antara negara yang sangat maju dalam penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif yang berkesan.
Selain itu, tenaga nuklear juga boleh dipertimbangkan kerana menawarkan kos yang kompetitif serta tahap kecekapan yang tinggi,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, pembangunan tenaga hidrogen turut menunjukkan potensi besar, khususnya di Sarawak yang telah memulakan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menurutnya, prospek sektor tenaga negara adalah luas dengan pelbagai sumber yang boleh diterokai, dan tidak seharusnya tertumpu kepada biodiesel semata-mata.
“Dalam jangka panjang, biodiesel masih relevan dan perlu terus diperkasakan. Namun pada masa yang sama, kita tidak boleh mengetepikan sumber tenaga alternatif lain yang juga mampu menyumbang kepada kelestarian tenaga negara serta mengelakkan kesan negatif kepada rakyat,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pelaksanaan biodiesel B15, beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah yang positif dan berpotensi untuk diterokai oleh pihak industri.
Ujar beliau, pelaksanaan tersebut mampu membuka peluang baharu kepada sektor perniagaan, namun kesiapsiagaan industri perlu diberi perhatian.