Pendidikan tuntas lahir generasi muda berdaya saing tinggi

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 April – Pendidikan tuntas mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di pentas antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan SPWinds termasuk Anugerah Emas di Vienna mencerminkan sokongan guru, ibu bapa dan masyarakat dalam menyemarak bakat dan sahsiah.
  • Kerjasama strategik dengan penggiat seni profesional seperti Amir Masdi memperkaya pengalaman pembelajaran dan membina keyakinan pelajar.
  • Semua pihak termasuk sektor swasta digesa menyokong; Perdana Menteri menyumbang RM100,000 dan konsert amal kumpul dana bagi WMC 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook mengambil contoh kejayaan Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) termasuk Anugerah Emas di Vienna, adalah cerminan bahawa ekosistem pendidikan negara disokong guru-guru, ibu bapa dan masyarakat berupaya menyemarak bakat serta membina sahsiah unggul.

“Sehubugan itu kerjasama strategik bersama penggiat seni profesional seperti Amir Masdi tidak semata memperkaya pengalaman pembelajaran, bahkan menjadi wahana penting dalam memperluas ufuk pemikiran dan keyakinan anak-anak kita.

“Walhasil, inisiatif seperti ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang membina legasi generasi yang berani, berbudaya dan berdaya saing di persada global,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu beliau mahu usaha murni itu terus disokong oleh semua pihak, termasuk sektor swasta dan masyarakat, demi memastikan perjalanan anak-anak ini ke pentas dunia seperti World Music Contest 2026 dapat direalisasikan.

Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan orkestra SPWinds ketika menghadiri konsert ‘Winds of Glory’ pada Sabtu.

Konsert amal anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSP yang berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu bertujuan mengumpul dana bagi menyertai World Music Contest (WMC) 2026, di Belanda pada Julai ini.