
ISTANBUL, 26 April – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa supaya Majlis Makan Malam Persatuan Koresponden White House (WHCD) dijadualkan semula dalam tempoh sebulan susulan insiden tembakan ketika majlis itu pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi memetik organisasi media berkenaan.
- WHCD terganggu oleh insiden tembakan; bangunan dikosongkan walaupun penganjur menyatakan semua orang selamat.
- Suspek dikenalpasti sebagai Cole Allen, 31, penduduk Torrance dan akan didakwa di Mahkamah Daerah Persekutuan.
- Timbalan Pengarah Perkhidmatan Rahsia memuji langkah keselamatan berlapis; agensi seperti FBI dan pasukan SWAT terlibat.
Pengerusi WHCA Weijia Jiang berkata Trump meminta untuk dipindahkan dari Hotel Washington Hilton susulan pelanggaran keselamatan yang melibatkan seorang suspek lelaki bersenjata.
Menurut Axios, Trump pada mulanya berhasrat untuk kembali ke majlis itu selepas pemindahan berkenaan, namun pegawai penguat kuasa undang-undang menegaskan agar semua hadirin meninggalkan premis terbabit.
Jiang kemudiannya mengumumkan bahawa “semua orang selamat,” tetapi pihak berkuasa memutuskan untuk mengosongkan sepenuhnya bangunan itu meskipun terdapat petanda awal bahawa program berkenaan mungkin diteruskan.
Terdapat jangkaan dalam kalangan individu rapat dengan Trump bahawa beliau akan kembali ke pentas, namun rancangan itu akhirnya dibatalkan.
WHCD tahunan, yang secara tradisinya memberi tumpuan kepada media dan ketertiban politik, terganggu akibat insiden berkenaan. Trump kini dijangka menghadiri acara yang dijadualkan semula itu.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Rahsia Matthew Quinn turut menyatakan bahawa suspek “memandang rendah keupayaan perlindungan” agensi itu dan “telah dihentikan pada perjumpaan pertama.”
“Malam ini, seorang pengecut cuba mencetuskan tragedi nasional,” kata Quinn dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa kekuatan langkah keselamatan berlapis agensi itu nyata terbukti dan beliau turut berterima kasih kepada kakitangan penguat kuasa undang-undang yang terlibat.
Secara berasingan, pegawai daripada pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pasukan SWAT, berkumpul lewat Sabtu berhampiran sebuah alamat di Torrance, California, yang dikaitkan dengan suspek.
Pihak berkuasa dikatakan telah mengenal pasti suspek sebagai Cole Allen, 31, penduduk Torrance, sebuah bandar di barat daya Los Angeles.
Menurut maklumat awal, dia merupakan tetamu di hotel berkenaan dan akan didakwa pada Isnin di Mahkamah Daerah Persekutuan.-BERNAMA