
ISTANBUL, 26 April – Suspek insiden tembakan ketika Majlis Makan Malam Wartawan White House pada petang Sabtu memberitahu pihak berkuasa, dia berniat untuk menyasar pegawai daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik CBS News.
- Suspek memberitahu pihak berkuasa berniat menyasar pegawai pentadbiran Presiden AS Donald Trump.
- Suspek tidak menyatakan Trump sebagai sasaran secara spesifik, sebaliknya merujuk kepada "pegawai pentadbiran" secara umum.
- Pihak berkuasa masih belum mengesahkan motif ketika siasatan diteruskan.
- Insiden di Hotel Washington Hilton menyebabkan Trump, Melania, Naib Presiden JD Vance dan pegawai kanan lain dikeluarkan dari dewan.
Memetik sumber pihak berkuasa, CBS News melaporkan pada Ahad, suspek, yang dikenali sebagai Cole Allen, membuat kenyataan itu berikutan penahanannya.
Sumber berkata suspek tidak menyatakan Trump sebagai sasaran, tetapi merujuk secara meluas kepada “pegawai pentadbiran.”
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan secara terbuka motif suspek ketika siasatan diteruskan.
Kejadian itu berlaku di Hotel Washington Hilton, tempat makan malam tahunan berkenaan diadakan, yang menyebabkan Trump, Wanita Pertama AS Melania Trump, Naib Presiden JD Vance dan pegawai kanan lain dibawa keluar daripada dewan majlis.- BERNAMA-ANADOLU