
KUALA LUMPUR, 26 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan terus memperluas capaian program yang mempunyai daya tarikan serta nilai komersial tinggi termasuk Pertandingan Dikir Barat.
- RTM akan memperluaskan capaian program berdaya tarikan dan nilai komersial tinggi termasuk Pertandingan Dikir Barat.
- RTM melaksanakan pendekatan kolaboratif bersama pelbagai pihak untuk mencapai matlamat pengembangan dan pemasaran program.
- Perancangan pemasaran strategik menilai persepsi luar, mengenal pasti kekuatan, memastikan daya tarikan dan nilai komersial setiap program.
Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi RTM, Kamal Roslim berkata, pendekatan kolaboratif bersama pelbagai pihak dilaksanakan bagi memastikan matlamat itu tercapai.
“Dari sudut pemasaran, perancangan dibuat secara strategik dengan menilai persepsi pihak luar terhadap nilai tawaran program. Pendekatan ini membolehkan kita mengenal pasti kekuatan yang boleh diketengahkan, sekali gus memastikan setiap program mempunyai daya tarikan dan nilai komersial yang jelas,” katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM di sini.
Mengulas kekuatan program Pertandingan Dikir Barat RTM 2026, beliau berkata, ia melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menyaksikan penglibatan peserta wanita.
Pertandingan Dikir Barat RTM yang memasuki edisi ke-22 juga menjadi medium penting untuk memelihara dan menonjolkan warisan budaya tempatan kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.