Maritim Malaysia komited pastikan keselamatan perairan negara

Pengarah Zon Maritim Mersing, Suhaizan Saadin

MERSING, 26 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) komited memastikan keselamatan perairan negara, termasuk di Mersing, Johor, sentiasa berada pada tahap terbaik sebagai sokongan kepada penganjuran Tahun Melawat Johor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keselamatan penduduk dan pelancong menjadi keutamaan dalam setiap operasi Maritim Mersing.
  • Zon Mersing beroperasi dengan kira-kira 85 anggota, dua kapal dan empat bot pemintas laju, kapal ditempatkan sekitar Pulau Aur.
  • Memantau perairan seluas lebih kurang 8,000 kilometer persegi merangkumi lebih 50 pulau.
  • Pemantauan harian memastikan pematuhan peraturan; kesalahan biasa termasuk tidak memakai jaket keselamatan dan penggunaan bot tidak selamat.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Suhaizan Saadin, menegaskan aspek keselamatan warga tempatan serta pelancong sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap operasi yang dilaksanakan oleh anggota.

“Kami mempunyai kekuatan kira-kira 85 anggota, dengan enam aset iaitu dua kapal dan empat bot pemintas laju. Kapal ditempatkan di kawasan pantai sekitar Pulau Aur, berhampiran sempadan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di konti Johorfm sempena Sambutan Ulang Tahun RTM Ke-80 di Pulau Aur, di sini.

Zon Maritim Mersing memantau kawasan perairan seluas kira-kira 8,000 kilometer persegi, merangkumi lebih 50 pulau di wilayah berkenaan.

Pemantauan harian dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengguna serta penumpang bot dan kapal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Antara kesalahan yang kerap dikesan termasuk kegagalan memakai jaket keselamatan selain penggunaan bot dalam keadaan tidak selamat.