
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta kadar inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang tahun 2026.
- Dasar monetari terus fokus mengekalkan kestabilan ekonomi dalam persekitaran luaran yang semakin mencabar.
- Kedudukan ringgit yang kukuh memberikan fleksibiliti kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar semasa.
- Inflasi dijangka kekal sederhana walaupun gangguan di Selat Hormuz boleh menaikkan kos bahan api, baja dan logistik.
- Kenanga mengekalkan unjuran USD/RM sekitar 3.95, disokong kelemahan struktur dolar dan usaha diversifikasi rizab.
Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), tumpuan dasar monetari dijangka terus menjurus kepada usaha mengekalkan kestabilan ekonomi dalam persekitaran luaran yang semakin mencabar.
“Ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang kukuh memberikan fleksibiliti yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar semasa,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
Kenanga IB berkata, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana meskipun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz berpotensi meningkatkan tekanan harga menerusi kenaikan kos bahan api import, baja dan logistik.
Mengenai prospek ringgit, bank pelaburan itu mengekalkan unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM3.95 menjelang akhir tahun.
Menurutnya, unjuran tersebut bukan hanya bergantung kepada jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), sebaliknya turut didorong oleh kelemahan struktur yang dijangka berterusan terhadap dolar AS.
“Keadaan ini turut disokong oleh usaha kepelbagaian rizab, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal Amerika Syarikat,” katanya.
Pada masa sama, Kenanga IB berpandangan asas ekonomi domestik kekal kukuh dengan aliran masuk mata wang asing mencecah RM305.8 bilion pada April lalu, mencerminkan potensi besar untuk penukaran kepada ringgit dalam jangka panjang.
Menurut bank pelaburan itu, risiko terhadap prospek ekonomi kini dilihat lebih seimbang.
Walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat berpotensi mengekalkan harga minyak, jangkaan inflasi serta permintaan terhadap dolar AS pada paras tinggi untuk tempoh yang lebih lama, perkembangan politik domestik juga dilihat semakin mempengaruhi sentimen dan sensitiviti pasaran.