IRGCE 2026 catat rekod dengan 600 reruai, terbesar sejak dianjurkan

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor, menyaksikan majlis MoU antara Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung (kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Muhammad Eizaaz Muhammad Redzuan (kanan), semasa majlis pelancaran awal dan menandatangani perjanjian bagi Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-12 Tahun 2026 (IRGCE) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-12 (IRGCE 2026) mencipta rekod apabila mencatat penyertaan penuh sebanyak 600 reruai, sekali gus menjadi edisi terbesar sejak diperkenalkan pada 2002.

RINGKASAN BERITA AI
  • IRGCE 2026 akan berlangsung di KLCC, dijangka menarik lebih 1,000 delegasi dan 10,000 pengunjung dari lebih 70 negara.
  • Platform penting untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri sarung tangan, membincangkan kemampanan dan cabaran rantaian bekalan.
  • MARGMA dan MRC memeterai MoU, pameran menghimpunkan pengeluar, pembeli, pembekal teknologi, pengeluar mesin, automasi dan AI, serta lebih 40 penceramah.

Acara yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 10 September depan itu dijangka menarik lebih 1,000 delegasi dan 10,000 pengunjung dari lebih 70 negara.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr. Zairossani Mohd Nor berkata, IRGCE 2026 menjadi platform penting untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri sarung tangan getah dunia.

“Persidangan ini penting untuk memastikan Malaysia terus dilihat sebagai pengeluar utama dan peneraju industri sarung tangan global.

“Ia juga menjadi platform untuk membincangkan perkembangan semasa termasuk aspek kemampanan dan cabaran rantaian bekalan bagi memastikan industri terus berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran IRGCE 2026 yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, sambutan menggalakkan daripada pemain industri dalam dan luar negara mencerminkan keyakinan berterusan terhadap prospek industri sarung tangan Malaysia.

“Penyertaan pemain industri utama dan pemimpin industri dari seluruh dunia membuktikan perkembangan positif sektor ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden MARGMA, Oon Kim Hung berkata, IRGCE 2026 akan menghimpunkan keseluruhan ekosistem industri sarung tangan global termasuk pengeluar, pembeli, penyedia teknologi, pengeluar mesin, syarikat automasi dan penyedia kecerdasan buatan (AI).

“Ini merupakan edisi terbesar pernah dianjurkan. Sebelum ini jumlah reruai sekitar 560, namun kali ini kami mencapai 600 reruai dan semuanya habis ditempah.

“IRGCE merupakan satu-satunya platform global yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem industri sarung tangan di bawah satu bumbung,” katanya.

Beliau berkata, peserta juga berpeluang melihat pelbagai teknologi baharu, automasi dan inovasi yang mampu meningkatkan kecekapan serta daya saing industri.

Bertemakan ‘Synergising Innovations: Redefine the Future of the Glove Ecosystem’, IRGCE 2026 akan menampilkan lebih 40 penceramah tempatan dan antarabangsa yang akan membincangkan pelbagai isu berkaitan inovasi, pembuatan pintar, kemampanan serta masa depan industri sarung tangan global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.