PENGILANG harap penurunan harga diesel subsidi kurangkan harga bahan mentah

Harga diesel bersubsidi akan diturunkan kepada RM2.10 seliter mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR, 25 Jun– Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) berharap penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai 1 Julai akan turut membawa kepada penurunan harga bahan mentah dan kos input industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • PENGILANG berharap penurunan harga diesel subsidi menurunkan harga bahan mentah dan kos input industri.
  • Minta kerajaan memantau pengeluar dan pengedar supaya tidak mengekalkan harga lama selepas kos operasi turun.
  • Langkah disambut baik kerana dapat meringankan beban operasi usahawan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Azman Yusoff berkata, manfaat daripada langkah kerajaan itu perlu dirasai di seluruh rantaian perniagaan dan akhirnya memberi kelegaan kepada pengguna.

“Saya mengharapkan kerajaan memantau pengeluar atau pengedar yang menaikkan harga bahan mentah kerana kenaikan harga sebelum ini disebabkan harga diesel.

Jadi sekarang diesel sudah turun, mereka juga perlu menurunkan harga bahan mentah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) Ke-33, di sini.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dengan mengekalkan harga lama walaupun kos operasi telah berkurangan.

“Tak boleh apabila kerajaan sudah menurunkan harga kepada RM2.10, mereka masih mengekalkan harga yang sama.

Jadi tidak adil kepada pengguna. Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan. Ini satu usaha yang sangat baik dan perlu disokong,” katanya.

Azman berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan harga diesel kerana ia dapat membantu mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam seluruh negara.

Pendekatan berkenaan dilaksana menggunakan mekanisme berasaskan MyKad seperti program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Inisiatif itu membolehkan rakyat menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.