
KUALA LUMPUR, 25 Jun– Pasaran eksport baharu terus diteroka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran yang terjejas akibat ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
- MATRADE utamakan diversifikasi destinasi eksport ke negara yang tidak terlibat konflik dan manfaatkan akses melalui Perjanjian Perdagangan Bebas.
- Strategi ini penting untuk memperkukuh daya tahan perdagangan negara berhadapan ketidaktentuan global.
- Integrasi perdagangan ASEAN diperkuat dan perluas perdagangan intra-ASEAN ke negara kurang diterokai selain lima negara utama.
- Kemboja dikenal pasti berpotensi; lawatan dijadualkan untuk meneroka peluang eksport bagi FMCG, makanan, penjagaan diri, farmaseutikal dan kosmetik.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, strategi itu penting bagi memastikan daya tahan perdagangan negara terus diperkukuh.
Menurut beliau, tumpuan diberikan kepada negara yang tidak terlibat dengan konflik selain memanfaatkan akses pasaran menerusi pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
“Strategi pertama yang diberi tumpuan ialah mempelbagaikan destinasi eksport dengan mencari pasaran di negara yang tidak terlibat dalam konflik, termasuk di rantau Asia Tengah, Amerika Selatan dan Afrika Selatan.
Kedua, negara FTA. Banyak negara FTA yang telah berjaya. Jadi, kita mahu meningkatkan lagi pencapaian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) Ke-33, di sini.
Datuk Seri Reezal Merican memaklumkan, integrasi perdagangan ASEAN juga akan diperkukuh memandangkan perdagangan intra-ASEAN masih banyak tertumpu kepada lima negara utama iaitu Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Menurut beliau, masih terdapat ruang besar untuk memperluas perdagangan dengan negara ASEAN lain yang kurang diterokai.
Kemboja antara negara yang dikenal pasti mempunyai potensi sebagai destinasi eksport baharu.
Sehubungan itu, beliau dijadual mengadakan lawatan ke negara berkenaan pada Ogos ini bagi meneroka peluang kerjasama perdagangan bersama komuniti perniagaan tempatan.
“Dengan populasi sekitar 19 juta penduduk, Kemboja dilihat berpotensi menjadi pasaran bagi produk barangan pengguna cepat laris (FMCG) Malaysia termasuk makanan dan minuman, produk penjagaan diri, farmaseutikal serta kosmetik,” ujarnya lagi.