
KUALA LUMPUR, 25 Jun– PERAK Gen Showcase 2026 menjadi platform kepada usahawan Perak untuk memperluas pasaran produk serta memperkenalkan jenama mereka ke seluruh negara.
- Program membantu usahawan membina rangkaian perniagaan, menguji penerimaan pelanggan serta memperbaiki jenama dan daya saing.
- Sambutan pengunjung menggalakkan dengan jualan hari pertama memberangsangkan dan sasaran jualan sepanjang pameran ditargetkan.
- Usahawan kraftangan dan makanan memanfaatkan pameran untuk memperkenal produk Perak serta menembusi pelanggan baharu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program berkenaan bukan sekadar medan niaga, sebaliknya turut membantu usahawan membina rangkaian perniagaan dan meningkatkan daya saing.
“Program ini bukan hanya tempat untuk menjual produk.
Tetapi tempat usahawan menguji penerimaan pelanggan, memperbaiki jenama, membina hubungan perniagaan dan membuka pintu kepada peluang yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PERAK Gen Showcase 2026 di Medan MARA, di sini.
Program anjuran MARA Negeri Perak yang berlangsung dari 24 hingga 27 Jun itu menghimpunkan 75 reruai.
Antara sektor terlibat ialah makanan dan minuman, gaya hidup, pelancongan serta industri kreatif.
Dalam pada itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, program berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung.
“Usahawan-usahawan MARA Negeri Perak telah mencatatkan lebih daripada RM85,000 hasil jualan pada hari pertama.
Saya yakin sasaran RM1 juta sepanjang empat hari penganjuran mampu dicapai,” katanya.
Bagi pengusaha batik, Noazah Ahmad Tahir, program berkenaan membantu memperkenalkan hasil kraftangan negeri itu kepada lebih ramai pengunjung.
“Sambutan bagus. Ramai peminat batik datang dan mereka mahu menambah koleksi batik dari Perak.
Program ini banyak manfaatnya kerana lebih ramai dapat mengenali batik Perak,” katanya.
Seorang lagi peserta, Amirul Admin Yusri menyifatkan, program tersebut sebagai peluang untuk memperluas promosi produk makanannya kepada pelanggan baharu.
“Dengan program MARA ini, kami dapat mempromosikan produk ke pasaran yang lebih besar,” katanya.