Kluster ekonomi utama pacu Malaysia capai pertumbuhan lebih pesat

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong pada Persidangan Tanggungjawab Fiskal IDEAS 2026, di sini / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Malaysia berpotensi mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat sekiranya mempunyai beberapa kluster ekonomi utama yang berkembang serentak di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan kluster utama seperti semikonduktor Pulau Pinang dan Kulim, JS-SEZ Johor-Singapura, serta sektor tenaga Sarawak.
  • Beberapa enjin pertumbuhan serentak meningkatkan ketahanan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan pada satu wilayah atau industri.
  • Kluster berasaskan kekuatan wilayah mewujudkan ekosistem perniagaan kukuh serta memantapkan daya saing serantau dan global.
  • Strategi mempelbagaikan menarik pelaburan berkualiti tinggi, mempercepat pemindahan teknologi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pembangunan inklusif.

Beliau berkata, pembangunan pelbagai enjin pertumbuhan ekonomi dalam sektor berbeza mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara, selain mengurangkan kebergantungan kepada satu wilayah atau industri tertentu.

“Malaysia boleh membangun dengan lebih pesat sekiranya mempunyai beberapa enjin pertumbuhan seperti kluster semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim. Negara juga mempunyai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang memberi tumpuan kepada pembangunan di Johor, selain kebangkitan sektor tenaga di Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jika Malaysia mempunyai empat atau lima enjin pertumbuhan yang bergerak serentak dalam bidang berbeza, sebenarnya kita mempunyai ekonomi yang lebih berdaya tahan,” katanya pada Persidangan Tanggungjawab Fiskal IDEAS 2026, di sini, hari ini.

Liew berkata, pembangunan kluster ekonomi berasaskan kekuatan dan kelebihan setiap wilayah dapat mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kukuh serta meningkatkan daya saing negara di peringkat serantau dan global.

Menurut beliau, pendekatan itu juga mampu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

Tambahnya, strategi mempelbagaikan enjin pertumbuhan ekonomi juga selari dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan, selain memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati oleh lebih banyak wilayah di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.