Gerbang Malaysia-China tingkat keperluan pematuhan pengeksport tempatan

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara MATRADE dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun– Pengeksport tempatan akan dibantu memenuhi pelbagai keperluan kawal selia dan import China menerusi Inisiatif Gerbang Malaysia-China (MCGi).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan MCGi meliputi ujian produk, dokumentasi, pelabelan, kebolehkesanan dan prosedur kawal selia.
  • Perjanjian strategik MATRADE dan CAIQ Biosecurity memeterai pelaksanaan inisiatif MCGi.
  • Pengeksport perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan regulasi China yang dinamik dan sentiasa dikemas kini.
  • Walaupun cabaran, peluang pasaran China besar; syarikat harus kekal berdaya saing dan terus meneroka.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif itu bertujuan membantu syarikat Malaysia menyesuaikan produk dan operasi mereka dengan keperluan pasaran China.

Menurut beliau, sokongan yang disediakan merangkumi ujian produk, dokumentasi, pelabelan, kebolehkesanan serta prosedur kawal selia berkaitan.

“Saya telah meletakkan sasaran bahawa perlu ada pelaporan setiap enam bulan yang menunjukkan berapa banyak syarikat yang berjaya menembusi pasaran.

Namun, menembusi pasaran sahaja tidak memadai, mereka juga harus kekal berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara MATRADE dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd bagi pelaksanaan inisiatif MCGi, di sini.

Menurut Datuk Seri Reezal Merican, pengeksport Malaysia perlu sentiasa bersedia berdepan perubahan keperluan kawal selia China yang bersifat dinamik dan sentiasa dikemas kini.

Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak seharusnya menghalang syarikat tempatan daripada meneroka peluang di pasaran berkenaan yang mempunyai potensi besar.

China kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di ASEAN dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion pada 2025.

Jumlah itu menyumbang 17.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan global Malaysia.

Momentum tersebut berterusan tahun ini apabila perdagangan dua hala bagi tempoh lima bulan pertama 2026 meningkat 26.8 peratus kepada RM261.32 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.