Projek ECRL tawar kontrak fasiliti RM12.7 juta, 65 ruang niaga kepada usahawan tempatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Kontraktor tempatan berpeluang merebut 35 pakej pengurusan fasiliti ECRL bernilai keseluruhan kira-kira RM12.7 juta bagi tahun 2027, selain 65 ruang niaga yang akan disediakan di stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

RINGKASAN BERITA AI
  • EOSB melancarkan Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
  • Tawaran merangkumi perkhidmatan pengurusan fasiliti seperti pembersihan, landskap, kawalan perosak, penyelenggaraan bangunan dan sistem penyaman udara.
  • Penglibatan usahawan tempatan dijangka membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan memperluas pasaran produk tempatan di stesen ECRL.

ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB) menerusi kenyataan memaklumkan, peluang itu diperkenalkan menerusi Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL yang berlangsung di lima lokasi di Kelantan, Terengganu dan Pahang dari 28 September sehingga semalam.

35 pakej pengurusan fasiliti yang ditawarkan, merangkumi perkhidmatan pembersihan premis, penyelenggaraan landskap, kawalan makhluk perosak, penyelenggaraan bangunan serta sistem penyaman udara.

Pada masa sama, 65 ruang niaga membabitkan kiosk dan pushcart akan disediakan di stesen ECRL bagi perniagaan makanan dan minuman, barangan runcit, keperluan perjalanan, produk tempatan, cenderamata serta perkhidmatan berkaitan penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd Zaidi Sharif (kiri) pada Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL./ EOSB

Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd Zaidi Sharif berkata, penglibatan usahawan dan kontraktor tempatan diperlukan bagi menyokong pengoperasian stesen, bangunan dan fasiliti ECRL.

Katanya, penyertaan komuniti perniagaan tempatan juga dijangka membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memperluas pasaran produk tempatan di stesen ECRL.

Jelajah berkenaan menarik penyertaan 1,665 orang, termasuk 321 peserta di Kelantan, 534 di Terengganu dan 810 di Pahang.

Jumlah penyertaan itu mencerminkan minat komuniti tempatan untuk menyertai ekosistem ECRL menjelang fasa pengoperasiannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.