Dakwaan serangan Houthi ke Riyadh ‘mengelirukan’ – Gabungan Saudi

Seorang wartawan AFP yang berada di kawasan berkenaan melihat api dan asap muncul dari sebuah kemudahan minyak berhampiran ibu negara Arab Saudi itu./ AFP

RIYADH, 4 Oktober – Dakwaan kumpulan Houthi bahawa mereka melancarkan serangan ke atas Riyadh disifatkan sebagai “mengelirukan” oleh gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan itu di Yaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wartawan AFP melaporkan api dan asap dari sebuah kemudahan minyak berhampiran ibu negara Arab Saudi.
  • Jeneral Turki al-Maliki menyifatkan Houthi sebagai 'mengejar kemenangan khayalan' dan berkata kumpulan itu berdepan kesukaran di Taiz.
  • Houthi mendakwa menyerang kemudahan Aramco di selatan Riyadh; pihak berkuasa Arab Saudi belum memberi ulasan.
  • Konflik Yaman memuncak sejak Julai, Houthi kuasai barat laut termasuk Sanaa; pertempuran kini tertumpu pada Taiz.

Bagaimanapun, seorang wartawan AFP yang berada di kawasan berkenaan melihat api dan asap muncul dari sebuah kemudahan minyak berhampiran ibu negara Arab Saudi itu.

Jurucakap gabungan berkenaan, Jeneral Turki al-Maliki, berkata Houthi hanya “mengejar kemenangan khayalan” dalam dakwaan serangan tersebut.

Beliau dalam kenyataan kepada media milik Arab Saudi, Asharq Al-Awsat, pada Sabtu turut mendakwa kumpulan berkenaan berdepan kesukaran di Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman yang ketika ini sebahagian besarnya dikuasai pasukan kerajaan.

Terdahulu, Houthi mendakwa mereka menyerang sebuah kemudahan milik syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, di selatan Riyadh.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi masih belum memberikan ulasan mengenai dakwaan berkenaan.

Bulan lalu, Houthi turut mendakwa menyerang sebuah kemudahan minyak di bandar pelabuhan Yanbu, yang merupakan antara terminal minyak utama di Laut Merah.

Konflik di Yaman kembali memuncak pada Julai selepas tempoh beberapa tahun lebih tenang, dengan Houthi yang menguasai sebahagian besar barat laut negara itu, termasuk ibu negara Sanaa, berdepan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi.

Kerajaan yang berpusat di Aden menguasai sebahagian besar wilayah selatan dan timur Yaman, kawasan yang lebih luas tetapi kurang padat penduduk.

Pertempuran semakin sengit sejak kebelakangan ini, dengan Houthi melancarkan serangan pantas bulan lalu sehingga menguasai beberapa kawasan pantai di sepanjang Selat Bab al-Mandab yang strategik.

Kumpulan itu turut melancarkan serangan ke atas sasaran di Arab Saudi, negara pengeksport minyak terbesar dunia, selain mengumumkan sekatan terhadap kapal negara berkenaan di Laut Merah.

Pertempuran terbaharu tertumpu di Taiz, dan meskipun Houthi menguasai kawasan yang luas, kumpulan itu masih belum berjaya merampas bandar Taiz daripada pasukan kerajaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.