
KUALA LUMPUR, 17 Julai- Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.
- Kaunter rugi mengatasi kaunter untung 245 berbanding 112; 272 kaunter tidak berubah, 2,106 tidak diniagakan, 12 digantung.
- Malacca Securities: Jualan pada saham semikonduktor AS tekan sektor teknologi tempatan; LSS6 dijangka menyokong permintaan saham tenaga boleh baharu dan penyimpanan tenaga.
- Indeks utama dan sektor kewangan, tenaga serta produk perindustrian menurun manakala Indeks Perladangan meningkat.
Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 1.18 mata kepada 1,721.01 daripada 1,722.19 semasa ditutup pada Khamis selepas dibuka rendah 2.33 mata kepada 1,719.86.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 245 berbanding 112 manakala 272 kaunter tidak berubah, 2,106 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 179.18 juta saham bernilai RM79.29 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI dijangka diniagakan rendah sedikit berikutan penurunan semalaman saham semikonduktor Amerika Syarikat (AS), dengan tekanan jualan tertumpu kepada sektor teknologi tempatan.
“Bagaimanapun, kami menjangka sebarang risiko penurunan akan disokong oleh sentimen positif yang meluas susulan pelancaran rasmi program Solar Berskala Besar 6 (LSS6).
“Kami menjangka minat belian akan beralih kepada saham berkaitan tenaga boleh baharu dan penyimpanan tenaga,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing mendatar pada RM11.04 dan RM7.70, Public Bank menurun satu sen kepada RM5.19, Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM14.26 manakala IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM8.55.
Bagi saham aktif, TWL, Ingenieur dan Kinergy, masing-masing mendatar pada 2.5 sen, empat sen dan 38.5 sen, Vinvest menurun setengah sen kepada satu sen dan Nationgate berkurangan tiga sen kepada RM1.14.
Kaunter paling untung ialah Petronas Dagangan meningkat 22 sen kepada RM19.64, Padini naik 16 sen kepada RM1.58, LPI Capital menambah 12 sen kepada RM15.12 serta IOI Properties dan Telekom Malaysia, masing-masing menokok lima sen kepada RM3.94 dan RM7.63.
Nestle mendahului senarai kaunter paling rugi apabila merosot 94 sen kepada RM92.06, Malaysian Pacific Industries menurun 26 sen kepada RM45.02, Press Metal berkurangan sembilan sen kepada RM7.98, SAM Engineering dan Frontken, masing-masing menyusut tujuh sen kepada RM4.70 dan RM4.78.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menurun 13.30 mata kepada 12,685.92, Indeks FBMT 100 merosot 12.51 mata kepada 12,517.10 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 11.47 mata kepada 12,509.80.
Indeks FBM Mid 70 menurun 34.71 mata kepada 17,868.79 dan Indeks FBM ACE berkurangan 13.0 mata kepada 4,902.11.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 6.54 mata kepada 20,304.28, Indeks Tenaga berkurangan 3.83 mata kepada 766.06 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.94 mata kepada 186.99.
Indeks Perladangan meningkat 17.34 mata kepada 9,491.11. – BERNAMA