
KUALA LUMPUR, 17 Julai- Ringgit dibuka tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama tetapi mendatar berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua dikeluarkan hari ini, kata penganalisis.
- Pasaran menumpu anggaran awal KDNK suku kedua 2026; Bank Muamalat jangka 5.1% disokong eksport kuat sektor elektrik dan elektronik.
- Indeks Dolar AS meningkat 0.28% apabila pegawai Fed terus menyokong kadar faedah lebih tinggi, menjejaskan sentimen ringgit.
- Ringgit dijangka diniagakan antara RM4.06 dan RM4.08; mengukuh berbanding pound, euro, yen, naik berbanding SGD dan baht.
Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.0710/0780 berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran tertumpu kepada anggaran awal pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku kedua 2026, dengan unjuran konsensus mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus.
“Kami mengunjurkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2026 dicatatkan pada 5.1 peratus, disokong oleh permintaan luar yang berdaya tahan terutamanya eksport yang meningkat berkaitan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Pertumbuhan KDNK melebihi lima peratus dianggap sebagai prestasi kukuh bagi ekonomi Malaysia, terutamanya apabila dipacu oleh aktiviti pelaburan. Ini dijangka memberi sokongan positif kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.28 peratus kepada 100.763 mata apabila beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus menyokong kadar faedah yang lebih tinggi bagi menurunkan kadar inflasi ke arah sasaran dua peratus.
Oleh itu, ringgit dijangka terus diniagakan antara RM4.06 dan RM4.08 berikutan sentimen pasaran yang masih tertumpu kepada keputusan kadar faedah Fed.
Pada sesi pembukaan, ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.4865/4959 daripada 5.4987/5034 semasa ditutup pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.6593/6673 daripada 4.6678/6718 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5068/5112 daripada 2.5102/5125 semalam.
Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1551/1610 daripada 3.1583/1612 semasa ditutup pada Khamis dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.1161/1430 daripada 12.1247/1399 sebelum ini.
Ringgit tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 226.3/226.8 daripada 226.3/226.6 semasa ditutup pada Khamis dan berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.60/6.61 sebelum ini. – BERNAMA