Kerajaan sasar 60 peratus tenaga kerja wanita menjelang 2030

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Jun – Penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara dijangka mencecah 60 peratus menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar penyertaan tenaga kerja wanita meningkat daripada 45.7 peratus pada 1982 kepada 56.2 peratus pada 2023, menunjukkan perubahan positif.
  • Wanita dianggap rakan strategik kerajaan dan penyumbang utama kepada kesejahteraan serta kemampanan negara.
  • Dalam perkhidmatan awam, 795,000 wanita kini berkhidmat, mewakili 59 peratus daripada keseluruhan penjawat awam negara.
  • PUSPANITA digesa terus merangka program inklusif serta menyantuni ahli dan komuniti bagi memperkukuh kebajikan dan daya tahan masyarakat.

Sekali gus memperkukuh peranan mereka sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, peningkatan kadar penyertaan tenaga kerja wanita daripada 45.7 peratus pada 1982 kepada 56.2 peratus pada 2023 mencerminkan perubahan positif serta penglibatan semakin signifikan golongan itu dalam pelbagai sektor.

“Wanita bukan sahaja rakan strategik kerajaan, malah penyumbang utama kepada kesejahteraan dan kemampanan negara.

“Seramai 795,000 penjawat awam wanita kini berkhidmat dalam sektor awam, mewakili 59 peratus daripada keseluruhan penjawat awam negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) PUSPANITA Kali Ke-44 di sini.

Beliau yang juga Penasihat PUSPANITA menyifatkan angka tersebut sebagai bukti jelas dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, sekali gus menjadi tulang belakang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Mengulas cabaran semasa, beliau menegaskan usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat memerlukan komitmen padu daripada semua pihak.

Sehubungan itu, PUSPANITA dilihat sebagai rakan strategik kerajaan dalam melahirkan masyarakat berdaya tahan, berteraskan nilai murni serta berupaya mendepani cabaran masa depan.

Dalam perkembangan sama, Penaung PUSPANITA, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berharap organisasi itu terus memainkan peranan penting dalam menyantuni ahli serta masyarakat melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan komuniti.

Beliau turut menggesa agar lebih banyak program inklusif dirangka pada masa hadapan bagi memastikan manfaat dapat dinikmati secara menyeluruh oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan muzik video lagu rasmi pertama PUSPANITA sejak penubuhannya pada tahun 1983.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.