
PUTRAJAYA, 25 Jun– Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda Venezuela pada Rabu.
- Kedutaan di Caracas sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan memantau perkembangan semasa.
- Rakyat Malaysia diminta berwaspada, mengambil langkah keselamatan sewajarnya dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
- Yang belum berdaftar digesa kemas kini maklumat melalui e-Konsular dan menghubungi Kedutaan untuk bantuan konsular segera.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Caracas mengesahkan kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu berada dalam keadaan selamat.
“Kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan terus memantau perkembangan semasa.
Pihak berkuasa Venezuela masih menilai keadaan semasa termasuk jumlah kemalangan jiwa dan skala penuh kemusnahan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melawat kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.
Pada masa sama, mengambil langkah keselamatan sewajarnya dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Mereka yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Caracas turut digesa mengemas kini maklumat melalui sistem e-Konsular.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai warganegara Malaysia yang mungkin berada di kawasan terjejas boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud dilaporkan berlaku kira-kira 21 kilometer dari daerah Moron, iaitu 168 kilometer ke barat Caracas.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan termasuk Caracas, Trujillo, Carabobo, Miranda dan La Guaira.
Kejadian itu dilaporkan mengakibatkan kerosakan struktur yang teruk termasuk runtuhan bangunan.