
KUALA LUMPUR, 25 Jun– Aspek kecuaian antara yang diteliti dalam siasatan insiden letupan semasa latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun yang mengorbankan dua anggota tentera.
- Siasatan sedang dijalankan oleh pasukan khas pakar peluru dan bahan letupan Angkatan Tentera Malaysia.
- Punca sebenar hanya dapat dipastikan selepas siasatan menyeluruh selesai dalam masa terdekat.
- Siasatan menumpukan juga kepada lot grenad yang digunakan dalam latihan.
- Pengendalian bom tangan memerlukan teknik; pegangan tuil mesti kukuh, jika terlepas pengendali ada kira-kira empat saat untuk membaling.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, punca sebenar kejadian hanya dapat dipastikan selepas siasatan menyeluruh selesai dalam masa terdekat.
Menurut beliau, siasatan ketika ini dilaksanakan oleh pasukan khas terdiri daripada pakar peluru dan bahan letupan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tumpuan turut diberikan terhadap lot grenad yang digunakan dalam latihan berkenaan.
Sebaik sahaja kita memperoleh hasil siasatan, kita akan mengumumkannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled menjelaskan, pengendalian bom tangan memerlukan teknik tertentu walaupun pin keselamatan telah dicabut.
Katanya, bom tangan tidak akan meletup selagi tuil keselamatan masih dipegang oleh pengendali.
“Walaupun pin keselamatan telah dicabut, bom tangan itu tidak akan meletup selagi tuil keselamatannya masih dipegang.
Antara kes yang boleh berlaku ialah apabila pin dicabut tetapi pegangan pada tuil keselamatan tidak cukup kuat lalu terlepas,” katanya.
Menurut beliau, apabila keadaan itu berlaku, pengendali hanya mempunyai kira-kira empat saat untuk membaling grenad sebelum letupan berlaku.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penjelasan tersebut merupakan penerangan umum mengenai kaedah latihan membaling grenad dan tidak merujuk secara khusus kepada insiden yang sedang disiasat.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030.
Dalam kejadian 16 Jun lalu, dua anggota ATM maut ketika menyertai latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun.
Mangsa yang terkorban ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD).