
GEORGE TOWN, 25 Jun- Sebanyak 44 tan durian dari Pulau Pinang berjaya dieksport ke pasaran antarabangsa setakat musim Jun ini, meskipun pengusaha berdepan syarat eksport dan proses dokumentasi yang ketat.
- Datuk Rashidi: permintaan durian tempatan di pasaran antarabangsa masih tinggi.
- Pengusaha mesti mematuhi pemeriksaan ladang, pendaftaran dan piawaian eksport untuk elak barangan ditahan atau dipulangkan.
- Pesta Durian Road to MAHA 2026 di Masjid Al-Rashidin, Sungai Bakap tarik sekitar 30,000 pengunjung, sediakan 10 tan durian premium.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata pencapaian itu menunjukkan permintaan terhadap durian tempatan di pasaran global masih kekal tinggi.
Beliau berkata pengusaha perlu mematuhi pelbagai syarat ditetapkan termasuk pemeriksaan ladang, pendaftaran serta pematuhan piawaian eksport sebelum durian dibenarkan dihantar ke negara terbabit.
“Eksport pertanian khususnya durian ke pasaran luar negara bukan sesuatu yang mudah. Mereka akan datang memeriksa ladang dan pengusaha perlu berdaftar serta memenuhi syarat ditetapkan sebelum eksport dibenarkan.
“Kita perlu memastikan kawalan dibuat supaya produk yang dihantar menepati piawaian. Jika tidak, barangan boleh ditahan atau dipulangkan dan ia akan memberi kesan kepada imej jabatan serta kerajaan negeri,” katanya ketika ditemu bual di konti Mutiara FM.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 30,000 pengunjung dijangka hadir ke Pesta Durian Pulau Pinang: Road to MAHA 2026 yang bermula esok.
Datuk Rashidi berkata penganjuran itu merupakan antara usaha kerajaan negeri memperkukuh pasaran domestik raja buah selain membantu memperkenalkan produk durian tempatan kepada masyarakat.
Katanya, sebanyak 10 tan durian pelbagai varieti premium disediakan sepanjang program berkenaan yang turut menawarkan aktiviti jualan serta pameran berkaitan sektor pertanian.
“Program ini untuk mengetengahkan produk durian tempatan kepada masyarakat Pulau Pinang dan kawasan sekitar Seberang Perai Selatan (SPS).
“Pelbagai aktiviti disediakan termasuk jualan produk pertanian, anak pokok dan tanaman lain sepanjang tiga hari penganjuran,” katanya.
Pesta berkenaan berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Masjid Al-Rashidin, Sungai Bakap.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung Ahad ini dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi menyokong rantaian ekonomi pekebun tempatan.