
KUALA LUMPUR, 25 Jun– Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan perolehan sistem artileri gerak sendiri atau Self-Propelled Howitzer (SPH) CAESAR 155 milimeter dari Perancis bagi memperkukuh pertahanan negara.
- Perolehan itu sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh keupayaan artileri Angkatan Tentera Malaysia.
- Kementerian Kewangan sudah meluluskan pada 2024; MINDEF diminta runding semula harga; RM50 juta diperuntukkan fasa pertama.
- Pesanan 18 unit CAESAR, mampu lepas enam das dalam kurang satu minit, jarak operasi hingga 40 km, tukar kedudukan dalam 2.5 minit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan aset baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan meningkatkan keupayaan artileri Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, kerajaan telah bersetuju dengan perolehan berkenaan dan sistem tersebut akan menjadi tambahan penting dalam inventori persenjataan negara.
“Kami mengesahkan dan telah bersetuju dengan perolehan itu.
Ia menjadi satu lagi aset yang ditambah dalam persenjataan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan, butiran lanjut termasuk jadual penghantaran pertama sistem berkenaan akan diumumkan kemudian.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan dilaporkan meluluskan perolehan sistem artileri tersebut pada 2024.
Bagaimanapun, MINDEF diminta merunding semula harga sebelum keputusan dimuktamadkan.
Pada November tahun lalu, Kementerian Kewangan turut memperuntukkan RM50 juta bagi fasa pertama pemerolehan dengan proses akhir dijangka diselesaikan tahun ini.
Malaysia dilaporkan menjadi negara ke-15 memperoleh sistem artileri CAESAR yang dibangunkan syarikat pertahanan pan-Eropah, KNDS.
Menurut KNDS, pesanan sebanyak 18 unit sistem CAESAR dalam konfigurasi rejimen akan menyumbang kepada pengukuhan keupayaan tempur serta kesiapsiagaan ATM.
Sistem tersebut mampu melepaskan enam das tembakan dalam tempoh kurang satu minit dengan jarak operasi sehingga 40 kilometer.
Ia juga berupaya menukar kedudukan dalam tempoh kurang dua minit setengah bagi meningkatkan mobiliti dan kelangsungan operasi di medan tempur.