
KUALA LUMPUR, 25 Jun– Kesiapsiagaan pertahanan negara terus diperkukuh bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks termasuk serangan siber, kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan geopolitik global.
- Pelancaran PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 sebagai kesinambungan pelan strategik menyokong Kertas Putih dan kesejahteraan warga ATM.
- RTKP memastikan kapasiti serta sumber diperlukan tersedia termasuk kewangan, modal insan, kepimpinan, kompetensi profesional dan penyelarasan merentasi agensi.
- Pemodenan ATM diteruskan melalui penerimaan aset strategik seperti FLIT-LCA, MPA dan LMS Batch 2 serta pembangunan industri pertahanan.
Usaha itu diterjemahkan menerusi pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PSPN 2026-2030 merupakan kesinambungan kepada pelan strategik kementerian sebelum ini serta menyokong pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan.
“Pelan itu menggariskan tujuh teras utama termasuk memperkasakan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pembangunan industri pertahanan dan pengukuhan kerjasama pertahanan antarabangsa,” katanya.
PSPN turut memberi penekanan kepada kesejahteraan warga serta veteran ATM.
Dalam masa sama, RTKP diperkenalkan bagi memastikan kapasiti dan sumber yang diperlukan tersedia untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan.
“RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut.
Keupayaan ini merangkumi soal kewangan, modal insan, kepimpinan, kompetensi profesional, kepakaran teknologi, penyelidikan, inovasi serta penyelarasan merentasi agensi kerajaan dan ekosistem pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, konflik berpanjangan di beberapa rantau, ancaman siber dan perkembangan teknologi baharu menuntut Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, pemodenan ATM akan diteruskan termasuk melalui penerimaan aset strategik seperti Fighter Lead In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.
MINDEF juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan melalui AI, pertahanan siber, peperangan elektronik dan teknologi satelit.
Dalam aspek kebajikan, kerajaan akan meneruskan pembinaan enam projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu serta penyelenggaraan 20,000 unit RKAT sedia ada.