KDN tangguh pembentangan RUU Penjara (Pindaan) 2026

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Jun- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62 untuk mengambil kira pandangan Ahli Parlimen.
  • RUU akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan dan Hak Asasi Manusia untuk penelitian lanjut.
  • Pindaan Akta Penjara 1995 fokus pada empat aspek utama memperkukuh tadbir urus, keselamatan dan pengoperasian penjara termasuk isu kesesakan.
  • RUU menekankan pemerkasaan program pemulihan, latihan kemahiran dan penglibatan komuniti bagi memudahkan reintegrasi pesalah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62 sebagai mengambil kira pandangan yang dikemukakan Ahli Parlimen.

Beliau berkata RUU berkenaan akan dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia bagi mendapatkan penelitian lanjut.

“Saya bagi pihak KDN berhasrat untuk menangguhkan dahulu RUU ini. Kita bersetuju untuk membawanya sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia untuk diteliti terlebih dahulu,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas kandungan RUU berkenaan, beliau berkata pindaan terhadap Akta Penjara 1995 (Akta 537) itu memberi tumpuan kepada empat aspek utama bagi memperkukuh pengurusan institusi penjara, termasuk menangani isu kesesakan banduan.

Katanya, pindaan itu diperlukan bagi memastikan undang-undang sedia ada kekal relevan dengan cabaran semasa selain memperkukuh aspek tadbir urus, keselamatan dan pengoperasian penjara.

“Kita akui berlaku kesesakan melebihi jumlah yang sepatutnya di dalam penjara. Justeru, pindaan ini bertujuan memperkukuh tadbir urus, keselamatan serta pengoperasian institusi penjara itu sendiri,” katanya.

Selain menangani kesesakan, RUU berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan program pemulihan, latihan kemahiran serta penglibatan komuniti bagi membantu proses reintegrasi pesalah ke dalam masyarakat.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata Akta 537 kali terakhir dipinda pada 2015 dan langkah penambahbaikan itu dijangka memberi manfaat serta hak yang lebih seimbang kepada pegawai penjara, pesalah dan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.