
KUALA LUMPUR, 25 Jun– Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan kemasukan pelajar ke universiti awam dilaksanakan berdasarkan syarat serta merit kelayakan yang ditetapkan.
- Timbalan Menteri nafikan wujud laluan khas atau kelonggaran syarat bagi kemasukan universiti awam.
- Dakwaan penerimaan pemegang UEC secara automatik dianggap tidak berasas.
- Kemasukan tidak dibuka berdasarkan sentimen politik atau selera pihak tertentu; syarat mesti dipatuhi.
- Penjelasan dibuat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata proses kemasukan ke universiti awam tidak dibuat berdasarkan sentimen politik, sebaliknya tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan dalam sistem pendidikan negara.
Beliau berkata dakwaan kononnya wujud laluan khas atau kelonggaran syarat bagi kemasukan ke universiti awam termasuk membabitkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah tidak berasas.
Katanya, kerajaan tidak pernah menyatakan bahawa pemegang UEC boleh diterima masuk ke universiti awam secara automatik hanya berdasarkan kelayakan berkenaan.
“Kemasukan ke universiti memang tidak pernah berdasarkan sentimen politik seperti yang disebutkan. Sebaliknya ada syarat dan merit kelayakan yang ketat, sama juga dengan tuduhan pintu belakang.
“Kita tidak pernah membuka laluan ke universiti ini hanya berdasarkan sentimen politik atau selera masing-masing, sebaliknya ada syarat merit yang perlu dipatuhi, terutama sekali berlandaskan sistem pendidikan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Dewan Rakyat hari ini.