Kerajaan sedang rangka Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan – TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDET) Ke-5 2026 di sini, hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mewujudkan Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang negara untuk memastikan kelestarian sumber air, termasuk menyokong pembangunan pesat industri pusat data.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar tebus guna air juga melibatkan pembangunan infrastruktur untuk menyokong pelaksanaan dan kelestarian penggunaan semula air.
  • Pendekatan bersepadu menghubungkan tenaga, air dan digital sebagai teras transformasi negara.
  • Kelulusan pelaburan bergantung kepada kemampuan bekalan tenaga dan air; negeri wajib pastikan keperluan rakyat tidak dikorbankan.
  • Sasaran peningkatan air tebus guna kepada 118 juta liter sehari menjelang 2030 untuk sokong industri dan lindungi bekalan domestik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dasar berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan air tebus guna, malah melibatkan pembangunan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pelaksanaannya pada masa hadapan.

Menurut beliau, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan bersepadu yang menghubungkan pembangunan infrastruktur tenaga, air dan digital dalam menyokong agenda transformasi negara.

“Maknanya kita akan hanya luluskan kalau kita ada keupayaan dari segi tenaga dan air. Perkara ini juga akan dibawa ke setiap negeri.

Jadi negeri juga akan memastikan bahawa sebelum sebarang pelaburan seperti pembukaan kilang, pusat data dan sebagainya diluluskan, kemampuan dari segi bekalan tenaga dan air perlu diambil kira. Keperluan untuk rakyat tidak akan dikorbankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDET) Ke-5 2026 di sini, hari ini.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pembangunan pusat data yang semakin berkembang di negara ini memerlukan perancangan rapi bagi memastikan keperluan bekalan air dan tenaga dapat dipenuhi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia kini menghasilkan kira-kira 48.5 juta liter air tebus guna sehari dan menyasarkan peningkatan kepada 118 juta liter sehari menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan sektor industri.

Penggunaan air tebus guna dilihat sebagai antara penyelesaian penting bagi mengurangkan kebergantungan industri terhadap air terawat, sekali gus membantu menjamin bekalan air domestik yang mencukupi untuk rakyat.

Pada masa sama katanya, Pelan Strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) 2026-2030 turut menyokong agenda tersebut menerusi pelaksanaan 119 program dan 133 sasaran yang boleh diukur.

Menurut beliau, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pemodenan grid elektrik, pendigitalan serta pengurusan permintaan tenaga sebagai teras utama bagi memperkukuh daya tahan infrastruktur negara.

Menyentuh aspek bekalan tenaga, beliau berkata, Malaysia telah melepasi kapasiti pemasangan tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 13.3 gigawatt setakat tahun 2025, dengan tenaga solar merekodkan pertumbuhan paling pesat.

Selain itu, kerajaan sedang membangunkan projek solar berkapasiti 1,000 megawatt bagi membekalkan tenaga bersih kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka memperkukuh ekosistem infrastruktur dan menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke koridor berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.