13 tuntutan MA63 selesai, lima isu dikategorikan interim

Datuk Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun– Sebanyak 13 daripada 29 tuntutan bawah platform rundingan rasmi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima tuntutan dikategorikan selesai sebahagian atau interim.
  • Isu interim melibatkan penambahan perjawatan Perkara 112, kesihatan, pendidikan dan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan.
  • Baki kes belum selesai dipantau BHESS; empat isu petroleum dirundingkan di peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, lima lagi tuntutan dikategorikan sebagai selesai sebahagian atau interim.

Menurut beliau, ia hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang diadakan pada 2 Mac lepas.

“Empat daripada perkara interim itu melibatkan isu pertambahan perjawatan perkhidmatan awam negeri bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, selain isu kesihatan, pendidikan dan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Baki 11 perkara lagi yang belum selesai kini sedang dipantau secara rapi oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS) selaku sekretariat bersama semua pemegang taruh pada peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Mustapha turut menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai isu petroleum.

Beliau menjelaskan, empat perkara masih dirunding di peringkat tertinggi.

Ia melibatkan royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 serta hak negeri ke atas pelantar benua.

Katanya, perkara berkenaan dibincangkan antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah mengikut keperluan serta kesesuaian semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.