
IPOH, 25 Jun- Kenderaan yang diparkir di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hanya akan dikenakan saman sekiranya mengganggu aliran trafik atau membahayakan pengguna jalan raya.
- Orang ramai dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu jalan selagi mematuhi peraturan ditetapkan.
- Kerajaan negeri dan polis bersetuju membenarkan penggunaan bahu jalan sebagai kawasan parkir teratur tanpa saman.
- Hospital berdepan kekangan ruang parkir akibat bilangan pesakit, pelawat dan kakitangan tinggi serta pembangunan sekitar yang padat.
- KKM meluluskan pelantikan syarikat untuk uruskan parkir, susun semula ruang, baik pulih aliran trafik dan perkenal parkir mekanikal.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata orang ramai masih dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran hospital itu selagi mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata kerajaan negeri bersama pihak polis sebelum ini mencapai persefahaman bagi membenarkan orang awam menggunakan bahu jalan sebagai kawasan parkir secara teratur tanpa dikenakan saman.
“Kerajaan negeri mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan beban pelawat. Hospital seperti Seri Iskandar, Bagan Serai dan Teluk Intan tidak ada masalah kerana pembangunan bangunan sedia ada lebih kurang 30 peratus sahaja, jadi masih ada tanah kosong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular seorang lelaki yang mempersoalkan tindakan saman trafik terhadap kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan.
Tambahnya, HRPB berdepan kekangan ruang parkir berikutan jumlah pesakit, pelawat dan kakitangan yang tinggi setiap hari selain pembangunan di sekitar hospital yang semakin padat.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pelantikan sebuah syarikat bagi menguruskan parkir di HRPB termasuk menyusun semula ruang parkir, menambah baik aliran trafik serta memperkenalkan sistem parkir mekanikal bagi meningkatkan kapasiti parkir sedia ada.