
BINTULU, 25 Jun – Seramai 100 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Bintulu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Bintulu baru-baru ini.
- Operasi melibatkan Op Selera, Op Gegar dan Op Belanja di lapan lokasi.
- Pemeriksaan terhadap 124 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan dijalankan sepanjang operasi.
- Antara kesalahan ditemui: tinggal melebihi tempoh, tiada pas atau permit sah, dan gagal mematuhi syarat pas.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, sepanjang operasi, seramai 124 individu terdiri daripada warga asing dan warga tempatan diperiksa.
“Operasi melibatkan Op Selera, Op Gegar dan Op Belanja itu dilaksanakan dari jam 1 pagi, 21 Jun hingga jam 8 pagi esoknya, di lapan lokasi sekitar Bintulu.
Operasi berkenaan membabitkan 27 anggota penguat kuasa daripada kedua-dua agensi,” kata kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 100 warga asing ditahan, terdiri daripada 83 lelaki, 15 wanita dan dua kanak-kanak lelaki kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tidak memiliki pas atau permit sah mengikut Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta gagal mematuhi syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.